Saya merujuk Utusan Malaysia 19 November di mana dilaporkan Dato' Seri Hishammuddin Husein merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) DUN Pengkalan Pasir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 dengan disertai bersama oleh Juara Akedemi Fantasia 3, Asmawi atau Mawi.

Nampaknya Mawi terpaksa sekali lagi menolong Umno untuk berkempen dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir. Pemuda Umno nampaknya meletak harapan besar pada Mawi. Memandangkan penemaan calon tinggal beberapa hari sahaja lagi, mungkin Mawi terpaksa "berkampung" di Pasir Mas.

Saya tidak meminta Mawi menjelaskan pendirian politiknya atau pergi membantu jentera Pilihanraya PAS pula. Kita kena faham dilema artis di negara ini, terpaksa pergi menyanyi ke mana sahaja, kerana itu kerja atau "periuk nasi" mereka.

Apa yang lebih penting kita perlu percaya pada hati ikhlas Mawi untuk bersama dengan Islam. Mungkin dia sedang membantu kita dengan caranya sendiri yang tidak dapat kita lihat.

Itulah harapan pada Mawi, kekallah sebagai artis yang menjaga kesopanan dan akhlak, tidak lupakan asal usulnya, Islam.