Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
'Pimpinan negeri perlu ambil serius isu pelantikan ahli majlis'

Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Syah Syed Othman baru-baru ini meletakkan jawatan kerana mendakwa wujud kepincangan dalam pemilihan calon-calon ahli majlis mewakili PKR bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Kritikan yang dilontarkan Syed Badli Syah ini kemudiaannya diikuti dengan beberapa lagi pandangan pemimpin akar umbi PKR Selangor yang menyuarakan kebimbangan yang sama.

Saya merasakan isu ini perlu diberi perhatian serius oleh Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Selangor. Sememangnya Perlembagaan PKR Perkara 29.1.G menetapkan MPN bertanggungjawab dalam memutuskan calon-calon yang ingin dikemukakan untuk sebarang jawatan politik bagi negeri berkenaan.

Nama calon-calon ini pula boleh diperolehi daripada kepimpinan PKR di peringkat cabang yang diberi kuasa menurut perkara 39.1.F Perlembagaan PKR untuk mencadangkan calon-calon daripada cabang berkenaan.

Saya kira MPN Selangor perlu memperjelaskan secara terperinci bagaimana proses pemilihan dan saringan dalam memutuskan calon-calon ahli majlis ini.

Amat merisaukan apabila wujud dakwaan yang mengatakan pemilihan ini dipengaruhi kepentingan faksi tertentu dalam parti.

Selari manifesto HARAPAN

Dikhuatiri pemilihan berasaskan kecenderungan terhadap suatu faksi ini bakal merencatkan usaha untuk memperkasa pihak berkuasa tempatan.

Pemilihan seseorang ahli majlis perlulah dibuat berasaskan merit bagi memastikan gagasan Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti yang digariskan dalam janji ke025 manifesto HARAPAN dapat dilaksanakan.

Janji ke-25 manifesto HARAPAN menekankan komitmen untuk memperkukuh demokrasi setempat dalam meletakkan agenda global seperti Sustainable Development Goals 2030 sebagai teras dalam penambahbaikan PBT seluruh negara.

Justeru saya mencadangkan agar kepimpinan PKR Selangor memandang serius terhadap cadangan ramai pihak agar pemilihan ahli majlis ini dibuat secara lebih demokratik.

Tidak keterlaluan jika Selangor mula mengkaji pelaksanaan pilihan raya tempatan bagi memastikan pemilihan ahli majlis ini dapat dibuat secara terbuka dan demokratik.

Ini penting kerana ahli majlis merupakan pemimpin yang paling dekat dengan akar umbi. Justeru sangat wajar untuk akar umbi diberi ruang untuk memilih ahli majlis yang akan mewakili kawasan mereka.


Syukri Razab merupakan setiausaha pengelola Pemuda PKR merangkap pengarah strategi Pemuda HARAPAN.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS