Surat Malaysiakini

Formula 10 + 6 + 10 bertentangan dengan dasar pendidikan

Sirajuddin Salleh  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Akhbar The Sun bertarikh 27 Ogos 2018 melaporkan bahawa perancangan untuk membina SJKC menggunakan formula 10 + 6 + 10 akan diteruskan oleh Kementerian Pendidikan.

Formula melibatkan 10 buah SJKC diluluskan pembinaannya oleh kerajaan BN, enam buah sekolah yang akan dibina di tapak baharu dan 10 buah lagi sebagai tambahan.

Kenyataan ini dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yeo Nie Ching yang mengatakan jumlah keseluruhan perancangan pembinaan SJKC ialah 26 (10 + 6 +10) buah bukan 16 (10 + 6) buah.

PERKASA menuntut penjelasan timbalan menteri, bila tambahan 10 buah SJKC dipohon, dibincang dan diluluskan oleh kerajaan? Kerajaan BN atau kerajaan Pakatan Harapan? Atau sebagai kenyataan provokasi?

PERKASA sangat memandang berat kenyataan ini kerana kenyataan timbalan menteri menggambarkan beliau hanya memperjuangkan pendidikan Cina di negara ini.

Tidakkah beliau sedar ada perkara yang lebih besar yang perlu ditangani oleh KPM daripada sibuk dengan penambahan bilangan SJKC.

PERKASA melihat bahawa beliau tidak tahu tentang Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas tidak memperuntukkan pendidikan Cina dilaksanakan di tanah air ini.

Begitu juga tidak pekanya beliau tentang Akta 555 yang jelas memperuntukkan penggunaan Bahasa Melayu, kurikulum serta sistem peperiksaan kebangsaan.

Beliau sepatutnya menumpukan perhatian lebih serius kepada kelemahan dan kekurangan yang sedang ditanggung oleh sekolah kebangsaan di seluruh negara.

Kemudahan infrastruktur, aksesibiliti sekolah, sumber manusia dan peruntukan kewangan yang sangat perlu di beri perhatian segera.

Semasa kita sibuk merayakan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-61 yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sepatutnya timbalan menteri lebih sensitif dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan pendidikan arus perdana.

PERKASA dengan ini mendesak kerajaan agar tidak lagi menambah SJKC dan SJKT kerana penambahan sekolah jenis ini hanya akan menaikkan sentimen perkauman di kalangan rakyat.

Ini akan menggagalkan usaha membentuk perpaduan nasional yang juga mengancam ketenteraman negara.

PERKASA dengan ini membantah sekeras- kerasnya sebarang tuntutan untuk menambah bilangan SJKC dan SJKT.

Perkara ini jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Nasional. PERKASA dengan ini menyarankan kepada kerajaan agar dengan serius merancang dan melaksanakan sekolah satu aliran bagi semua rakyat Malaysia sesuai dengan hasrat kerajaan berfokus kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

PERKASA ingin mengingatkan kepada timbalan menteri bahawa jawatan yang disandang merupakan satu amanah yang wajib dipikul bukan untuk kaum Cina tetapi untuk rakyat Malaysia.

Jangan mengkhianati amanah yang telah dipertanggungjawabkan demi masa depan negara yang kita cintai.


DATUK SIRAJUDDIN SALLEH ialah pemangku presiden PERKASA.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.