Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya setuju dengan cadangan Presiden SENIMAN Malaysia Zed Zaidi bahawa Kerajaan baru perlu mewujudkan Akta Seni bagi melindungi karya dan menjaga kebajikan warga seni yang selama ini tidak mendapat pembelaan daripada mana-mana jabatan kerajaan.

Cabaran penggiat seni ketika ini semakin bertambah, bukan saja dengan isu-isu berkait bayaran royalti tetapi juga isu persaingan.

Ini ekoran wujudnya media atas talian seperti Youtube dan lain-lain dan ia harus diperhalusi dan diubah cara pengurusannya agar lebih sistematik.

Para penggiat seni juga menghadapi masalah dari sudut ruang dan peluang pekerjaan. Ini melibatkan pelajar jurusan seni yang baru menamatkan pengajian. Jumlah ini semakin bertambah namun peluang kerja tidak banyak.

Justeru, Akta Seni ini diharap boleh menangani masalah-masalah ini agar mereka tidak terpinggir di masa depan. Jika tidak ditangani dengan baik, keadaan ini akan 'membunuh' peluang penggiat seni tanah air.

Penerbit Filem Malaysia menghadapi masalah memerlukan modal yang tinggi jika ingin menghasilkan karya yang setaraf dengan filem antarabangsa.

Banyak filem tempatan yang tidak mampu mencapai kualiti yang diharapkan ekoran kekurangan modal. Filem-filem ini tidak akan mampu menyaingi filem luar yang lebih menarik penonton berbilang kaum.

Kementerian dan FINAS wajar mencari idea-idea baru bagi menaikkan imej filem tempatan di mata dunia jika ingin melihat karyawan, penggiat seni dan penerbit filem lebih berdaya saing memajukan filem Malaysia di masa depan.

Badan caruman juga perlu ditubuhkan khas bagi golongan seni agar dapat membantu mereka yang tidak lagi mampu meneruskan kerjaya ekoran masalah kesihatan atau kemalangan. Ada yang tidak memiliki potongan KWSP atau SOCSO seperti orang lain.

Perkara ini sedang berlaku dan tiada seorang pun wakil mana-mana kementerian yang bersuara dan cuba membuat inisiatif bagi membantu mereka.

Kebanyakannya hanyalah bantuan one-off yang tidak membantu untuk jangka panjang.


SULAIMAN IBRAHIM ialah ahli jawatankuasa Biro Kebajikan AMANAH dan bekas peserta rancangan Raja Lawak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS