Paling Popular
Terkini

PEMILIHAN PKR | Setiap pihak yang bertanding dalam pemilihan KEADILAN (PKR), harus punya ruang untuk menyampaikan visi, misi dan program yang akan dilaksanakan sekiranya menang. Cara menyampaikan adalah pelbagai, dari sesi penerangan mahupun debat.

Bagi saya debat adalah ruang terbaik. Kalau tidak secara langsung di televisyen pun, ia masih boleh dilakukan secara tertutup dan dihadiri oleh ahli yang berminat.

Namun sepanjang tempoh kempen kali ini perkara yang banyak dilaporkan adalah serangan peribadi yang menjurus kepada perpecahan. Terkadang perkara yang dibincangkan secara dalaman juga menjadi hujah untuk menghentam pihak lawan.

Kita baru selesai PRU 14, dan telah menghadapi tiga pilihan raya kecil. Pada masa yang sama perlu mengimbangi janji manifesto untuk segera ditunaikan.

Di antaranya tentang perdana menteri menunggu. Untuk menjadi perdana menteri seseorang itu haruslah menjadi anggota Dewan Rakyat. Jadi satu kerusi harus dikosongkan.

Untuk menjadikan seseorang calon mampu menang di musim pemilihan adalah dengan mereka sanggup mengosongkan kerusi untuk sekian-sekian orang. Wakil rakyat yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan seumpamanya akan dianggap tidak menyokong dan mensabotaj pemimpin tertinggi parti.

Mandat lima tahun yang pengundi berikan, usah dipandang ringan. pengundi generasi millenial ini, bukanlah pak turut yang dengan mudah mengangguk segala keputusan elit parti.

Oleh itu, KEADILAN perlu mencari alasan kukuh kenapa sesebuah kerusi harus dikosongkan untuk memberi laluan sesiapa sahaja bertanding. Masih ingat Langkah Kajang mahupun Penanti?

Tidak mencabar jawatan tertentu

Sebagai sebuah parti politik pertama di Malaysia yang mengangkat suara semua ahli di dalam pemilihan parti, agak tidak manis sekiranya terdapat desakan jawatan tertentu tidak dipertandingkan.

Pemimpin yang berasakan diri mereka layak, harus diberi ruang seluasnya. Bila mana terdapat pandangan yang tidak selari, pihak berkenaan akan segera dicop tidak setia pada orang tertentu.

Perkara yang sama bila kita mengkritik Umno yang hampir tiada pencabar untuk jawatan pertama dan kedua sejak peristiwa pahit mereka pada tahun 1987.

Saya masih percaya KEADILAN berdiri kerana 18 tujuan dan matlamat parti. Pemimpin akan pergi tetapi idea dan gagasan akan kekal selamanya.

Setuju untuk tidak bersetuju

Di dalam organisasi mana pun, kita akan berdiri kerana hasrat yang sama. Perkara yang tidak dipersetujui akan menjadi nota yang akan dibincangkan kerana ruang masih ada. Kita akan semakin kuat sekiranya mampu dan bersedia merapatkan jurang.

Baik pemimpin atau ahli bawahan adalah bebas berekspresi di bawah garis batas yang telah disediakan. Namun kita sering menggelar setiap orang yang bersuara sebagai condong kepada sesuatu pihak kemudian akan dicemuh dan dikeji. Kita boleh dan tidak salah untuk memihak. Tetapi santun sesama kita harus tetap dijaga.

Saya cukup menghargai pimpinan KEADILAN terdahulu dan sekarang. Setiap daripada mereka termasuk semua ahli dan rakyat Malaysia adalah sebab utama kita masih wujud untuk membina Malaysia yang lebih baik.

Di dalam pertandingan pemenang hanyalah satu. Setiap orang ada kekuatan dan harus diberikan peranan lain kepada yang kalah. Oleh yang demikian saya tidak bersetuju penggunaan 'chai'. Ahli harus dididik mengetahui prestasi kerja setiap yang bertanding dan bukan dididik menghafal nombor 'chai'.


MOHD HAFIZAN MAZUKI ialah ahli PKR Cabang Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan akan keluar mengundi pada 22 September 2018.

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS