Ke mana hilangnya semangat patriotik?
Baru-baru ini Malaysia menewaskan Myanmar 4-2 pada perlawanan pertama bola sepak kelayakan Piala AFC Bawah 20 Tahun di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Menurut laporan akhbar kira-kira 2,000 penonton menyaksikan perlawanan itu di mana 80 peratus daripadanya adalah adalah penyokong Myanmar.
Perlawanan tersebut bukannya diadakan di hutan pedalaman atau di kawasan industri di mana ramai warga Myanmar bekerja, tetapi diadakan ditengah-tengah kota kosmopolitan, di ibu negara Malaysia, iaitu Kuala Lumpur.
Mana perginya lautan manusia warga Malaysia yang biasanya membanjiri Dataran Merdeka ketika Sambutan Malam Merdeka atau Malam Sambutan Tahun Baru? Mana perginya lautan manusia warga Malaysia yang membanjiri konsert-konsert percuma yang sering dipromosikan dalam media cetak dan elektronik ? Mana perginya warga Malaysia yang membanjiri jamuan bersama pemimpin ketika Sambutan Idil Fitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina?
Apakah rakyat Malaysia ini telah dididik untuk berkumpul dalam apa-apa program baik konsertnya atau ceramah pemimpin negaranya hanya apabila ada artis-artis bersama mereka, adanya makanan percuma, adanya bas-bas untuk membawa mereka ke tempat program?
Apakah Program Latihan Khidmat Negara yang menelan belanja berjuta-juta ringgit tidak dapat menanam semangat patriotik jutaan remaja warga kota untuk menyokong pasukan kebangsaan negara?
Hanya 400 penyokong tempatan menyaksikan perlawanan tersebut sedangkan 1600 warga Myanmar sanggup mengeluarkan wang simpanan mereka menyaksikan perlawanan tersebut? Apakah media-media tidak bersemangat patriotik untuk mempromosikan perlawanan ini kerana kejohanan seperti ini tidak memberikan keuntungan komersial?
Atau apakah rakyat Malaysia lebih rela membelanja wang dalam pertandingan SMS daripada melihat perlawanan bolasepak yang tidak menjanjikan apa-apa ganjaran?
Miskin sangatkah warga Malaysia hingga tidak mampu membeli tiket stadium dan tiket bas? Atau rakyat Malaysia sudah ditanam dengan jiwa subsidi, kalau hadir program mesti ada artis, kalau pergi program mesti ada bas dan makan. Kalau hendak ramaikan orang dalam sesuatu program, "paksa" pelajar sekolah dan pelajar IPT hadir?
Apakah selepas ini kita perlu adakan segara pengangkutan dan hiburan percuma untuk memenuhkan stadium?
Mana hilangnya semangat patriotik kita semua?

