Paling Popular
Terkini

Hari ini nilai mata wang ringgit masih berada dalam keadaan yang lemah. Hari ini nilai ringgit berbanding 1 dolar Amerika Syarikat (AS) adalah RM 4.17. Bulan ini juga menunjukkan nilai ringgit berbanding 1 dolar adalah sekitar RM 4.15 dan RM4.20. Jika kita bandingkan dengan nilai ringgit sebelum PRU14, nilai ringgit berbanding adalah sekitar RM3.85 sedolar. Ini jelas menunjukkan saban hari nilai ringgit makin lemah.

Fakta juga menunjukkan nilai mata wang ringgit lemah berbanding mata wang negara jiran kita di utara. Sebagai contoh, nilai 100 baht Thai adalah bersamaan RM13 pada hari ini, namun setahun lepas, nilai 100 Baht Thai adalah sekitar RM10 dan RM11.

Antara perbandingan lain adalah perbandingan nilai mata wang ringgit dengan mata wang negara jiran di selatan tanah air, Singapura. Nilai 1 dolar Singapura bersamaan RM3.04 pada hari ini, namun fakta menunjukkan nilai 1 dolar Singapura bersamaan RM 2.90 setahun yang lepas.

Ini menunjukkan nilai ringgit berbanding mata wang negara jiran, Thailand dan Singapura juga makin lemah setelah Pakatan Harapan memerintah negara. Rakyat boleh juga boleh membandingkan mata wang negara kita dengan mata wang Indonesia, Brunei dan Vietnam. Fakta yang sama dapat dilihat. Kelemahan nilai mata wang negara menjadi salah satu petunjuk yang jelas untuk mengukur kesihatan ekonomi negara. Kesimpulannya, ekonomi negara menjadi semakin tenat bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Pemuda PH terus menyalahkan kerajaan BN seolah-olah itulah jawapan standard untuk melepaskan diri daripada pertanyaan orang ramai mengenai kesihatan ekonomi negara. Hutang kerajaan pula sebelum PRU14 adalah sebanyak RM686 bilion, tetapi hari ini hutang negara sudah meningkat kepada RM776 bilion pada suku pertama 2019.

Peningkatan hutang negara hampir RM100 bilion ini merupakan penanda aras bahawa kerajaan PH gagal mentadbir ekonomi negara. Kenyataan serong hutang negara 1 trilion bakal menjadi kenyataan bawah pimpinan PH. Namun begitu, apa yang telah dilakukan oleh Pemuda PH untuk meringankan beban ekonomi anak muda?

Ketua Pemuda PH Syed Saddiq dari Armada Bersatu gagal melunaskan janji Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada anak muda. Di saat ekonomi jatuh merudum, anak muda ditekan dengan kezaliman dasar baru pembayaran balik PTPTN. Berdasarkan Buku PH melalui 10 janji 100 hari mereka, janji keenam (rujuk muka surat 12) adalah khusus untuk anak-anak muda peminjam PTPTN.

Janji tersebut berbunyi, “Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam”.

Pemimpin-pemimpin muda PH, terutama Syed Saddiq, telah berjanji di dalam Buku PH (muka surat 189) melalui Iltizam Khusus Anak Muda, Iltizam #4, “Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma” dengan “Menjamin pendidikan awam percuma yang lebih baik di setiap peringkat, bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi”.

Pelbagai “kajian” dan “pusingan U” dibuat berkaitan PTPTN. Pusingan U pertama dibuat mengenai Iltizam anak muda dengan ungkapan “manifesto bukan kitab suci” apabila gagal memberikan pendidikan percuma seperti yang dijanjikan. Najib Razak dan pentadbiran terdahulu disalahkan.

Pusingan U kedua dibuat apabila kajian mahu dilaksanakan berkenaan janji mereka iaitu gaji minimum RM4,000 bagi pembayaran balik PTPTN. Pusingan U ketiga dibuat apabila peminjam dikeluarkan dari senarai hitam, tetapi berdepan risiko bankrap atau muflis jika tidak membuat pembayaran balik.

Pusingan U keempat dibuat apabila skema pemotongan gaji melalui peratusan yang tidak adil dan munasabah untuk anak-anak muda. Pusingan U kelima dibuat apabila mereka mahu menyenaraihitamkan semula peminjam supaya tidak ke luar negara. Ditambah pula dengan peraturan zalim untuk mengenakan sekatan ke atas pasport, lesen memandu, dan memperbaharui cukai jalan.

Kepimpinan Pemuda PKR (AMK) pula sibuk bertelagah isu kem pemimpin masing-masing yang terbelah dua. Negara digemparkan dengan pengakuan seorang pegawai dalam kerajaan PH, Haziq Aziz, yang merupakan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin. Haziq juga merupakan kepimpinan anak muda PKR di Sarawak.

Individu tersebut membuat pengakuan sumpah bahawa dia bersama seorang menteri kanan dalam video luar tabii yang telah tular. Hilman Idham, timbalan ketua AMK dilihat sibuk mempertahankan bosnya, daripada mempertahankan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi negara. Seharusnya kes ini diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Ketua Pemuda AMK pula, dilihat berada di kem bertentangan, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan tidak pula cakna isu ekonomi anak muda. Hanya kontroversi seperti berbuka puasa di kuil menjadi taruhan mendapatkan perhatian media.

Kepimpinan Pemuda Amanah pula sibuk memberi komen sensasi tanpa merujuk kepada fakta. Disebabkan komen sensasi, rakyat menjadi mangsa dan kecelaruan tercetus. Sebagai contoh, gesaan daripada Pemuda Amanah yang mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk menyiasat punca kematian 13 Orang Asli merupakan satu kenyataan bersifat politik tanpa melihat fakta kejadian secara keseluruhannya.

Banyak teori dilemparkan kepada masyarakat umum hingga menyebabkan sentimen dan persepsi negatif terpalit kepada kerajaan negeri Kelantan. Antara teori mereka adalah dakwaan pencemaran sumber air, pencemaran akibat aktiviti pembalakan dan pencemaran akibat aktiviti perlombongan.

Berdasarkan maklumat terkini, agensi kerajaan berkaitan mengesahkan tiada pencemaran sumber air melibatkan apa jua aktiviti yang didakwa. Berdasarkan pengetahuan kami, aktiviti perlombongan di Kelantan terhad kepada aktiviti perlombongan mineral yang tidak merbahaya seperti emas, perak dan batu kawi (manganese).

Mineral ini semua bukanlah jenis radioaktif atau berbahaya. Jelas menunjukkan Pemuda Amnanah bersikap opportunist dalam kesusahan rakyat Kelantan. Suara ketua mereka pula, Sany Hamzan, jarang-jarang kedengaran untuk mengangkat masalah ekonomi anak muda.

Akhir sekali, kepimpinan pemuda DAP iaitu DAPSY, pula diam menyepi setelah menang pilihan raya. Ketua mereka, Howard dilihat pasif dalam mengutarakan isu-isu ekonomi anak muda. Dikhabarkan exco belia dan sukan Perak ini gagal dalam memperjuangkan isu-isu yang diutarakan oleh anak muda Perak, terutama atlet-atlet paralimpik negeri Perak. Jika di peringkat negeri pun gagal, bagaimana ingin memperjuangkan aspirasi anak muda nasional?

Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda Ikatan menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU15. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan mereka. Dewan Pemuda Ikatan sentiasa cakna akan hal-hal penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.




SHAHIR ADNAN ialah ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap timbalan ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS