Paling Popular
Terkini

Keputusan Kementerian Pendidikan membuka tawaran baru kepada pelajar cemerlang SPM daripada golongan B40 untuk mengikuti program matrikulasi sesi 2019/2020 menunjukkan bahawa kerajaan PH berada pada landasan tepat untuk membawa perubahan demi kemaslahatan rakyat.

Tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Pendidikan atas pelaksanaan dasar baru itu.

Perhatian berterusan yang diberikan kepada golongan B40 akan mampu menjana perubahan sosioekonomi keluarga mereka pada kemudian hari, dan ia bermula dengan sokongan pendidikan yang terfokus kepada mereka.

Tindakan afirmatif berdasarkan keperluan yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan itu sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malah ia lebih memperluaskan lagi bantuan kepada belia golongan sasar daripada semua kaum.

Keputusan kabinet itu bertepatan dengan matlamat asal matrikulasi yang mengutamakan keperluan akses pendidikan tinggi kepada anak-anak cemerlang daripada keluarga golongan terpinggir.

Semoga lembaran baru ini membakar semangat mereka untuk mengubah nasib diri dan keluarga pada masa depan.

Pelbagai inisiatif sebenarnya telah direncana dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan ia harus disokong sepenuhnya oleh masyarakat.

Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (JKPTVET) yang hari ini telah membuahkan hasilnya.

Kita juga tidak akan lupa bagaimana Kementerian Pendidikan berjaya melakukan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik.

Pindaan-pindaan itu penting kepada pembinaan generasi belia dan pimpinan lebih demokratik pada masa akan datang, selain menjadi manifestasi kepada pelaksanaan perubahan yang lebih besar.

Pelbagai usaha untuk mengurangkan bebanan tugas guru juga berjaya dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan. Ia dibuat agar guru boleh kembali kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik anak bangsa.

Kejayaan ini juga diakui sendiri oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili 230,000 ahli daripada sektor perguruan.

Masalah seperti pertukaran guru duka lara, pentaksiran berasaskan sekolah, kekurangan guru ganti dan isu penggunaan gajet di sekolah juga sedang diselesaikan melalui sesi libat urus dan mendengar suara akar umbi dalam merangka segala dasar.

Saya ingin berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta timbalannya Teo Nie Ching atas kesudian mereka untuk menerima pandangan dicadangkan oleh Pemuda DAP Kebangsaan mengenai isu matrikulasi dan STPM.

Meskipun perjalanan reformasi dasar pendidikan negara di hadapan kita masih panjang dan berliku, namun saya kekal yakin - dengan semangat kerjasama progresif antara kepimpinan PH - usaha kita ini akan membuahkan hasilnya.


HOWARD LEE ialah ketua Pemuda DAP Kebangsaan merangkap timbalan ketua Pemuda PH dan exco Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS