Surat Malaysiakini

Sinar untuk masa depan yang digelapkan

Letters  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sejak 1997, antara doktrin terbesar yang telah disemat dalam nubari dan waras akal kita adalah PTPTN sebagai entiti pemberi pinjaman. Barangkali ramai yang setuju dan tidak dinafikan bahawa itu salah satu tujuan asal penubuhannya, barangkali.

Namun ada satu hal yang boleh kita lihat dari sudut positif selain daripada pinjaman; iaitu perihal tabungan. Sesuai dengan namanya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional maka saya suka melihat ia sepatutnya dirujuk kepada tabungan berbanding pinjaman.

Jadi mahu tidak mahu, suka atau tidak dalam kita semua mengecam Wan Saiful Wan Jan dalam soal pengurusan PTPTN atau dasar-dasar lama yang kita sendiri enggan memikirkan kewajarannya, kita tidak boleh lepas pandang dan harus memuji sikap beliau.

Jika diamati sejak akhir-akhir ini beliau dan pasukannya agak giat mempromosikan soal tabungan iaitu melibatkan satu produk simpanan yang telah diwujudkan sejak tahun 2004 lagi namun produk tersebut tidaklah diberi sambutannya pada sebelum-sebelum ini.

Tetapi mengapa kita harus menabung jika kita boleh meminjam? Pada saya ia ada satu ada ironi tersendiri apabila baru-baru ini Mukhriz Mahathir mengeluarkan satu kenyataan ketika merasmikan Program Jelajah SSPN 2019 peringkat kebangsaan di Dewan Seri Mentaloon, Kedah.

“Ibu bapa harus melihat pendidikan sebagai satu pelaburan, bukannya perbelanjaan. Setiap pelaburan akan ada pulangannya iaitu melihat kejayaan anak dalam pendidikan dan kembali menyumbang kepada keluarga dan negara,” katanya.

Jadi doktrin meminjam tersebut haruslah diubah stigmanya kepada penabungan dan tabungan itulah pelaburan kerana apa yang kita peruntukan pada hari ini bukanlah untuk ditua esok tetapi pada suatu masa yang akan tiba sesuai dengan hasrat diimpikan walaupun ianya bermula dengan nilai yang kecil, misalnya sehari satu ringgit.

Saya terbaca satu laporan yang pernah dikeluarkan beberapa bulan lalu bahawa Pada 2018, kutipan deposit SSPN telah mencecah RM1.13 bilion dan jumlah ini adalah jumlah tabungan tertinggi pernah dicapai sejak produk ini diwujudkan pada 2004 dengan bilangan akaun baharu sebanyak 678,829.

Pada tahun ini pula Wan Saiful mensasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu.

Angka-angka ini sebenarnya memberikan satu nafas baru kepada sistem pendidikan kita kerana dengan kesedaran bahawa menabung di peringkat awal sekurang-kurangnya ia akan meringankan sedikit sebanyak kos untuk menyambung pelajaran di suatu masa kelak dan ia adalah salah satu perancangan kewangan pendidikan yang harus dititikberatkan.

Mungkin tanpa sedar, melalui nilai kutipan-kutipan itu juga, ia akan dapat membantu para golongan asnaf dengan cara pengeluaran zakat daripada PTPTN melalui wakalah zakat dan CSR PTPTN yang dikhabarkan setakat ini sudah berjumlah RM888,000.

Secara tidak langsung pelaburan daripada pendeposit yang telah dibuat, lalu digunakan untuk memberi insentif berbentuk SSPN tersebut kepada golongan yang layak sekurang-kurangnya akan memberi sedikit persediaan awal tabungan kepada golongan yang memerlukan tersebut. Ini setidak-tidaknya menjadi satu pemangkin kepada pembudayaan penabungan dan menjadi satu penanda aras yang baik dalam merangsang sikap serta nilai untuk ibu bapa untuk lebih peka soal pendidikan masa depan.

Usaha-usaha membudayakan penabungan untuk pendidikan ini seharusnya disokong dan disambut baik oleh mana-mana agensi swasta dan kerajaan serta semua masyarakat kerana dalam kita menggegak-gempitakan seluruh semesta jagat raya tentang soal pendidikan dan kewangan, sebenarnya ada satu inisiatif yang kita telah terlepas pandang iaitu soal penabungan. Penabungan masa depan yang kita sendiri gelapkan, maka kita ubahlah persepsi ini kerana ia masih belum terlambat.


NUR AMIRAH RAZALI ialah seorang pemerhati politik tempatan yang berkhidmat di sebuah universiti swasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.