DAP parti berbilang kaum?
Tahniah kepada DAP yang memenangi tujuh kerusi dalam pilihanraya Sarawak baru-baru lalu. Mengembangkan sayap ke Sarawak merupakan satu langkah bagi merealisasikan slogan 'Malaysia Malaysian' mereka.
Kemenangannya membuktikan DAP diterima oleh masyarakat Malaysia Timur terutama Sarawak walaupun Umno masih gagal masuk ke sana. Sudah pasti undi yang diperolehi oleh DAP bukan sahaja daripada masyarakat Cina tetapi pastinya termasuk daripada Iban, Melanau dan Melayu sendiri!.
Adakah ini sudah dapat membuktikan DAP adalah parti berbilang kaum? Mana-mana parti politik di Malaysia pastinya tahu bahawa mereka tidak akan dapat memerintah masyarakat majmuk di Malaysia berdasarkan kumpulan kaum atau agama tertentu sahaja. Mereka mestilah diterima oleh semua kaum dan agama di Malaysia untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.
Walaupun mencanangkan sebagai parti berbilang kaum, namun pastinya DAP dilihat sebagai parti untuk kaum Cina melalui kepimpinan dan perjuangan yang telah dilaksanakan.
Contohnya cukup mudah, di laman web DAP sendiri mereka menggunakan hanya Bahasa English dan Bahasa Cina sahaja dan meletakkan Bahasa Melayu sebagai 'under construction' sekian lama.
Adakan apabila mereka memerintah kelak mereka akan melayan Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga sahaja? Jadi hanya orang Melayu sahaja berhak menentukan samada DAP boleh dipercayai untuk menjaga hak-hak mereka. Tepuk ada tanya selera.

