Bertegaslah mengawal alam sekitar
Syabas diucapkan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kerana turun padang untuk mengatasi pelbagai masalah alam sekitar kebelakangan ini.
Kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh beliau sewajarnya dijadikan ikutan oleh pucuk pimpinan tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) baik di peringkat Pusat maupun negeri di dalam bertindak menyelesaikan ancaman pencemaran alam sekitar.
Kakitangan awam patut menjadi fasilitator kepada pembangunan dan tidak menyalahgunakan kuasa untuk menyekat kerancakan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang telah dirancang. Usaha-usaha murni kerajaan akan terbantut oleh sikap buruk segelintir penjawat awam yang suka melengah-lengahkan kerja dan menyembunyikan maklumat sebenar mengenai jabatan, kononnya untuk menjaga imej jabatan.
Sebagai agensi penguatkuasa mengawal masalah pencemaran alam sekitar, tugas dan amanah yang berat ini sewajarnya dilaksanakan dengan berhemah, adil dan saksama. Penguatkuasaan sewajarnya dilakukan secara konsisten,berkesan dan berterusan bukan dilaksanakan secara bermusim.
Tiada gunanya jika undang-undang dipinda dengan memperuntukkan hukuman penjara mandatori jika pelaksanaan penguatkuasaan mengikut selera dan acuan elemen korupsi.
Jangan sekali-kali melakukan siasatan kes pencemaran secara selektif. Sikap menutup sebelah mata dan membiarkan gejala pelupusan haram sisa toksik berterusan perlulah dibanteras sama sekali.
Sekiranya gejala penyelewengan ini tidak diatasi dengan kadar segera ianya akan menakutkan pelabur-pelabur untuk melabur ke negara kita ini dan seterusnya memberi impak negatif terhadap pembangunan ekonomi negara.
Sewajarnya kakitangan penguatkuasa yang gagal melaksanakan tugasan mereka disingkirkan dan pemimpin organisasi yang membiarkan gejala ini berleluasa dikenakan hukuman.

