SURAT l Media baru-baru ini melaporkan negara jiran serumpun kita Indonesia bakal mendapat vaksin Covid-19 dari China, November ini.

Khabar ini pastinya sesuatu yang mengembirakan bagi negara dunia dan kita Malaysia juga tidak boleh ketinggalan dalam usaha mendapatkan vaksin ini dalam kadar yang cepat.

Sudah pasti dalam situasi ini peranan Menteri Luar Hishammuddin Hussein dituntut agar menggunakan "kelebihan yang ada" bagi membolehkan negara mendapat vaksin Covid-19 dalam kadar segera.

Tindakan diplomasi yang diamalkan Malaysia dalam sengketa Amerika Syarikat-China sebelum ini diyakini mampu mempercepatkan penghantaran vaksin Covid-19 kepada Malaysia.

Tindakan menteri luar yang bijak mengendalikan isu berkenaan wajar dipuji kerana Malaysia boleh mendapat manfaat darinya.

Sekiranya Malaysia mendapat vaksin itu awal, kita mendapat kelebihan sebagai antara negara terawal yang mampu mengawal pandemik tersebut dan ini pastinya baik dari segi ekonomi dan imej negara.

Malaysia sememangnya mempunyai hubungan eksklusif dengan negara China sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dari segi sejarah, ekonomi, budaya, ketenteraan dan kewilayahan dulunya disebut empayar Raja-Raja Melayu dengan Dinasti Raja-Raja China.

Sejak itu, isu keselamatan dan kedaulatan di Laut China Selatan berjaya diatasi melalui ikatan diplomatik yang panjang, harmoni dan saling memahami.

Oleh itu, China perlu berlaku adil dengan tidak mengetepikan Malaysia dalam soal pembangunan vaksin virus Covid-19 yang sedang dibangunkan oleh negara tembok besar itu.

Malah, kita yakin selain hubungan istimewa China- Malaysia, keupayaan Hishammuddin juga pasti membantu usaha ini.

Begitu juga dengan Amerika Syarikat, tidak sepatutnya mengenepikan Malaysia dalam akses pembangunan vaksin virus Covid-19 memandangkan Amerika Syarikat adalah rakan dagang utama di Malaysia.

Di samping itu, kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, sosioekonomi, hubungan antarabangsa dan politik demokrasi di sebelah barat sana telah mendapat sokongan kuat dari negara-negara ASEAN di mana Malaysia merupakan negara utama ASEAN.

Kesimpulannya, China dan Amerika Syarikat perlu memberi akses kepada Malaysia untuk terlibat dalam pembangunan vaksin Covid-19 kerana tindakan mengenepikan Malaysia merupakan tindakan diplomatic yang mundur ke belakang dan tidak berperikemanusiaan.

Bagaimanapun kita yakin kerajaan yang ada hari ini, termasuk peranan menteri luar akan memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam hal ini.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNHARI merupakan penceramah dan penulis dasar-dasar kerajaan dalam bidang patriotisme, keselamatan negara, perpaduan nasional dan pembinaan negara bangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.