Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | 10 cadangan untuk belanjawan 2021
Diterbitkan:  Oct 27, 2020 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-raja Melayu yang berpendapat tiada keperluan melaksanakan darurat, setelah memperhalusi permohonan perdana menteri untuk pelaksanaan Perkara 150 (1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong mengingatkan dua perkara penting, supaya ahli-ahli politik memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara dan belanjawan 2021 yang akan dibentangkan amat penting kepada rakyat dalam menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

DPIM berpendapat sebarang usaha menggagalkan Belanjawan 2021 adalah tindakan politik yang menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa yang sama, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memperhalusi Belanjawan 2021 agar adil untuk semua, tanpa mengira fahaman politik, untuk membawa negara keluar daripada kemelut Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

Peruntukan kewangan yang besar diperlukan oleh petugas-petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Berikut merupakan cadangan belanjawan oleh DPIM demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia:

(1) Peruntukan yang sewajarnya untuk petugas-petugas barisan hadapan, agar kelengkapan seperti alat pelindung diri (PPE) sentiasa mencukupi ketika berhadapan Covid-19. Tumpuan harus diberikan di negeri-negeri yang kritikal seperti Sabah dan Selangor.

(2) Elaun tambahan kepada petugas barisan hadapan yang sudah berperang Covid-19 sejak bulan Mac. Elaun tambahan ini juga perlu diperluas kepada sukarelawan barisan hadapan.

(3) Moratorium secara automatik kepada seluruh rakyat sehingga Mac 2021 agar ekonomi tempatan dapat dijana. Moratorium secara bersasar kepada syarikat-syarikat kecil seperti IKS agar mereka tidak gulung tikar.

(4) Penjawat awam yang bertukus-lumus membantu pentadbiran negara ketika ketidaktentuan politik perlu diberikan penghargaan, melalui kenaikan pangkat dan gaji atau pun bonus.

(5) Rakyat yang dibuang pekerjaan perlu diberikan bantuan tambahan selain daripada BSH atau moratorium. Dana keusahawanan perlu ditambah dan diagihkan dengan adil kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

(6) Tunda apa jua projek-projek mega yang memerlukan dana yang besar. Peluang pekerjaan boleh dicipta melalui pengagihan projek-projek kecil meliputi seluruh negara, tanpa hanya tertumpu di kawasan projek mega.

(7) Kerajaan perlu memberikan bantuan kepada anak muda di institusi pengajian tinggi. Sektor pendidikan tinggi perlu diberikan dana tambahan dalam usaha transformasi institusi pengajian tinggi ke arah pengajian atas talian, dalam keadaan noma baharu.

(8) Rakyat di luar bandar memerlukan jaringan Internet yang bagus agar anak-anak di sekolah tidak tercicir. Keadaan hari ini memaksa guru-guru dan anak murid belajar secara atas talian. Akses kepada Internet yang laju amat penting agar proses pembelajaran dapat diteruskan.

(9) Bantuan kepada golongan B40 perlu diteruskan. Bantuan sebegini dapat membantu meringankan beban rakyat di bawah.

(10) Kurangkan elaun ahli parlimen, jemaah menteri, ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC. Rakyat mahu melihat pemimpin mereka berkorban di saat yang getir ini. Ketika ramai hilang pekerjaan, dikurangkan gaji serta elaun, dan perniagaan terjejas teruk, maka tidak adil jika elaun dan gaji pemimpin seolah-olah business as usual.

DPIM berharap kerajaan PN dapat memperhalusi cadangan-cadangan belanjawan yang dikemukakan rakyat. Hasrat dan harapan tersebut adalah manifestasi perit dan jerih rakyat Malaysia ketika ini yang berhadapan wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi. Ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang diingatkan agar bersama-sama meluluskan usul Belanjawan Negara 2021 agar bebanan yang dipikul rakyat dapat diringankan. Pemimpin yang baik perlu berlapang dada dan menjadikan rakyat dan negara sebagai pasak perjuangan.

Let’s prepare for the worst and hope for the best!


SHAHIR ADNAN ialah Ketua Pemuda DPIM Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap naib pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS