Paling Popular
Terkini

Meneliti semula Belanjawan Selangor 2020 yang diumumkan Amirudin Shari pada 1 November 2020, terdapat lima agenda utama buat golongan mahasiswa.

Antaranya ialah program Ikhtisass, HPIPT, Himpunan Mahasiswa Selangor, Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor dan Program Siswa Betara.

Namun difahamkan, pandemik Covid-19 menghalang sebahagian besar agenda ini dilaksana.

Maka menjelang Belanjawan Selangor 2021, Harmoni UM mengambil peluang untuk mengusulkan beberapa cadangan, khusus bagi hal ehwal mahasiswa dan pendidikan secara umum.

Umum mengetahui bahawa pandemik Covid-19 asbab kelangsungan pendidikan anak watan sangat terjejas khususnya mahasiswa.

Amirudin Shari 

Hari ini, rata-rata universiti mengamalkan online distance learning, maka dampaknya sangat besar terutama pada isu akses kepada pendidikan itu sendiri.

Maka, Harmoni UM hadir dengan satu usul bawah nama “Memacu kesejahteraan pendidikan mahasiswa selangor pasca-Covid-19 melalui inisiatif-insiatif tuntas”.

Bagi maksud ini, kami gariskan tiga inisiatif untuk dimajukan ke pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Pertama, kad sim siswa Selangor. Dicadangkan agar kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi membekalkan rangkaian Internet kepada mahasiswa Selangor.

Ini penting bagi memastikan tiada mahasiswa Selangor yang tercicir dari pembelajaran atas talian.

Hasrat kami agar rangkaian Internet diberikan secara percuma kepada mahasiswa Selangor yang benar-benar memerlukan terutama mereka yang dari keluarga B40.

Kedua, pemerkasaan dan penambahan bilangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Gambar hiasan

PPAS dilihat sangat sesuai bagi mahasiswa mendapatkan akses kepada pembelajaran atas talian.

Kemudahan di PPAS seperti komputer, rangkaian Internet, kemudahan mesin cetak dan fotokopi amat diperlukan oleh mahasiswa.

Namun, ia perlu diperkasakan dengan menambah baik mutu perkhidmatan PPAS agar mampu memberikan suasana pembelajaran yang baik khusus bagi mahasiswa yang berada di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Selain itu, penambahan bilangan PPAS amat signifikan bagi kawasan luar bandar kerana tidak semua kawasan mempunyai PPAS tanpa menafikan kewujudan beberapa perpustakaan desa.

Kerjasama PPAS dan pihak sekolah untuk memilih mana-mana perpustakaan sekolah sebagai perpustakaan komuniti amatlah diperlukan.

Ini juga sebagai ruang keterlibatan masyarakat awam dalam membangunkan pendidikan warga komuniti bersama pihak sekolah.

Ketiga, inisiatif rumah siswa Selangor.

Dicadangkan agar kerajaan negeri Selangor bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengurangkan atau dikecualikan 8.8% cukai taksiran (cukai pintu) terhadap pemilik rumah sewa persendirian yang menyewakan rumah kepada mahasiswa.

Ini tidak termasuk rumah-rumah sewa di bawah seliaan universiti atau kampus, dengan syarat pemilik mendaftar bawah program ‘Rumah Siswa Selangor’ ini.

Kemudian, pemilik rumah sewa haruslah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk memberi kadar sewaan yang rendah kepada mahasiswa dengan kadar yang dipersetujui bersama oleh kerajaan, pemilik dan wakil mahasiswa.

Inilah tiga cadangan inisiatif kami dari Harmoni UM bagi maksud usul yang dibawa.

Terdapat banyak teknikaliti perlaksanaan yang tidak disebut di sini.

Ia perlukan perbincangan yang lebih serius di masa depan.

Akhir sekali, Harmoni UM sentiasa komited untuk terlibat dalam apa-apa perbincangan yang mengangkat agenda kebajikan mahasiswa.

Kami juga bersedia untuk bertemu dengan kerajaan negeri termasuk menteri besar bagi menyatakan idea-idea di atas dengan lebih terperinci, sekali gus memperkasa kebajikan mahasiswa.

Hadir dengan solusi!


FAKHRIL ZAIDI ialah pengerusi Harmoni UM manakala NIZAM RAHMAN ialah aktivis kumpulan sama.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS