Sekumpulan lapan orang siswazah UKM-GSB bawah seliaan Dr Wan Hirwani dengan Kerjasama Pusat Jagaan Warga Emas Darul Insyirah (DI) telah berjaya melancarkan laman sesawang, sekali gus menjadikan ia yang pertama dihasilkan sejak penubuhan pusat jagaan ini.
Darul Insyirah mula ditubuhkan pada September 2013 dan merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan oleh Pusat Kecemerlangan Ummah (PACU) sebagai persediaan Malaysia menghadapi negara tua menjelang 2030. Pusat jagaan ini turut menyediakan khidmat jagaan harian, mingguan dan bulanan serta menyediakan kelas-kelas pendidikan yang bersesuaian dengan warga emas dalam dasar pendidikan sepanjanga hayat. Seramai 30 orang “bonda” telah berada bawah jagaan Darul Insyirah iaitu di cawangan Bangi Golf Resort dan Sungai Ramal.
Seiring dengan misi untuk membangunkan sebuah rumah penjagaan orang tua Islam yang dapat menyediakan kemudahan-kemudahan yang selesa demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka, Darul Insyirah merancang untuk membina sendiri rumah kediaman sebagai memenuhi keperluan tersebut. Pada Ogos 2017, usaha ini telah menampakkan hasil, walaubagaimanapun pada Julai 2020, tanah yang sepatutnya menjadi tempat pembinaan rumah Darul Insyirah telah musnah akibat banjir dan telah menjadikan ia tidak selamat untuk didiami.
Sehubungan dengan itu, Darul Insyirah merancang untuk melancarkan laman sesawang digital bagi memudahkan urusan sumbangan demi merealisasikan impian mereka untuk mendapatkan dana tambahan bagi membiayai pembelian tanah di Sungai Merab, Sepang. Darul Insyirah berharap dengan kewujudan laman sesawang digital ini, ia dapat membantu mereka mengumpulkan dana sebanyak RM5 Juta untuk fasa pertama projek pembinaan ini.
Kehadiran siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia – Graduate School of Business (UKM-GSB) dilihat ibarat “pucuk dicita ulam mendatang”. Kehadiran mereka telah merealisasikan impian Darul Insyirah untuk membina sebuah laman sesawang digital dan membantu dalam menjalankan promosi melalui media sosial untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai projek ini dan sekali gus meningkatkan dana projek Darul Insyirah.
Segala sumbangan kewangan boleh disalurkan dengan melayari laman sesawang, www.darulinsyirah.com. Segala sumbangan turut layak mendapat pengecualian cukai daripada LHDN.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
