Kemarahan membuak-buak mahasiswa pada kali ini tidak seharusnya diambil mudah oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kes kematian seorang pelajar di Kedah wajar menjadi asbab membuka mata individu dan kumpulan perancang sukatan pembelajaran.

Bermula 17 Mac 2020, kita dapat lihat bagaimana proses pelaksanaan dasar dan penentuan keputusan yang lewat dan tidak tersusun oleh Dr Noraini Ahmad sehingga menjejaskan kebajikan dan keselamatan mahasiswa ketika pandemik jelas semakin membimbangkan.

Setahun berlalu, namun kita masih belum dapat melihat ketetapan yang wajar dan realistik bagi mahasiswa. Tahap kesihatan mental mahasiswa kini membimbangkan akibat pelbagai permasalahan terutamanya yang melibatkan PDPR serta kelesuan pandemik.

Permasalahan ini harus diambil serius oleh pihak KPT sebelum ia mengorbankan lebih banyak nyawa.

Walaupun kita semua sedia maklum tentang keadaan semasa graf peningkatan kes wabak Covid-19 yang tidak menentu ketika ini, KPT sewajarnya terus cakna akan kebajikan dan tahap kesihatan mental mahasiswa terutamanya yang berada di kampus.

Apa yang mahasiswa perlukan hanyalah jaminan kementerian agar mereka mempunyai takwim dan perancangan yang jelas. Dalam keadaan begini, adalah wajar bagi pihak KPT menghapuskan subjek-subjek yang tidak diperlukan terutamanya yang melibatkan ‘workload’ tinggi namun ‘credit hours’ yang rendah.

Tempoh bertenang juga harus diambil kira oleh pihak KPT. Saya difahamkan sejumlah mahasiswa UiTM telah memohon sebelum ini untuk diberikan tempoh bertenang dan ini seharusnya diambil kira.

Jika Dr Noraini tidak mampu menguruskan sebuah kementerian yang cukup penting sebegini dengan baik, satu tindakan yang bermoral perlu dilakukan dan diserahkan kepada mereka yang lebih berkredibiliti.

Kami juga mendesak agar lebih ramai mahasiswa dilibatkan dengan segera dalam proses penentuan dasar dan keputusan pada masa akan datang

Akhir sekali, Mahasiswa Keadilan Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan rakan rakan arwah. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman.


DHARSHINEE SURESH KUMAR ialah timbalan presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.