Elak tuding jari di sebalik pelantikan Onn Hafiz
Walau apa pun alasan di sebalik pelantikan Adun Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor yang baru, sudah tiba masanya Umno mengetepikan perkara itu dan bergerak ke hadapan.
Seperti kata pepatah, tidak ada gunanya menangis kerana susu tumpah, yang terbaik adalah untuk semua ahli melihat cara untuk bekerjasama dan bersiap sedia untuk pertempuran yang lebih hebat di hadapan.
Semua ahli hendaklah segera mengelak daripada menuding jari dan membuat kesimpulan sendiri tentang siapa di sebalik pelantikan Onn Hafiz.
Tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap veteran Umno seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan lain-lain tidak akan mendapat apa-apa faedah langsung.

Seseorang tidak boleh membuat kesimpulan hanya sebab terdapat hubungan kekeluargaan dan menuduh seseorang mencampuri urusan yang tidak ada kaitan dengannya.
Semua dalam kalangan Umno mengetahui bahawa Hishammuddin berkempen bersama Datuk Seri Hasni Mohammad semasa tempoh berkempen untuk pilihan raya negeri Johor.
Tiada sebarang keuntungan politik untuk isu ini berpanjangan dan pihak tertentu terus menyalahkan satu sama lain di platform media sosial.
Walaupun Barisan Nasional memenangi pilihan raya negeri Johor, ia masih perlu menghadapi pilihan raya umum yang merupakan medan pertempuran yang lebih besar.
Dengan perhimpunan agung Umno semakin hampir, saya menggesa semua ahli untuk mengenepikan segala perbezaan dan bersatu sebagai satu barisan hadapan untuk rakyat.
ZUBAIDAH MOHD HARUN ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

