SURAT | Benarkan pengeluaran KWSP sebelum sesi baru sekolah
Kepada Anwar Ibrahim, lihatlah sendiri, rakyat sangat terdesak dan tertekan sanggup bergambar di hadapan cawangan KWSP di negeri masing-masing demi untuk menzahirkan kesusahan dan kesungguhan serta untuk membuktikan bahawa pencarum bukan suka-suka buat perkara luar jangka.
Ini semua disebabkan oleh kehidupan mereka benar-benar terkesan.
Lihatlah Anwar, sanggupkah sesebuah kerajaan perpaduan yang memerintah melihat keadaan ini di negara Malaysia yang tercinta.
Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup keluarga mereka, demi mendapatkan wang simpanan persaraan mereka sendiri.
Mereka sudah tidak pedulikan lagi apa masyarakat lain kata, yang penting tuntutan pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 bersasar diluluskan dengan kadar segera sebelum sesi persekolahan 2023/2024 dibuka tidak lama lagi!
Tolong Anwar ada rasa sedikit empati terhadap rakyat yang merayu seperti pengemis.
Mereka ini ada maruah tetapi keadaan sangat tertekan, maruah diketepikan.
Wajarkah sebagai seorang ketua pemimpin negara melihat semua ini?
Sehubungan dengan ini kami selaku NGO yang menegakkan hak asasi manusia, yang membawa suara rakyat, mendesak dan menggesa Anwar meluluskan tuntutan pengeluaran kecemasan KWSP 2.0 secara bersasar dengan kadar segera sebelum sesi persekolahan 2023/2024 dibuka tidak lama lagi!
AZMI MOHD TAHIR ialah presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/98e66fce17036795af575871227b5378.jpg)
