SURAT | Sanusi ‘tin kosong’, PAS tak pandai pulih masalah air Kedah-Kelantan
Pada 14 Mei lepas salah satu pintu baraj mengalami masalah teknikal. Akibatnya air mentah sungai mengalir ke laut tanpa sekatan. Paras Sungai Muda susut secara mendadak sampai menjejaskan operasi abstrak air mentah di beberapa muka sauk termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Lebih 200,000 pemegang akaun di negeri Kedah mengalami gangguan bekalan air terawat lebih 48 jam, di Pulau Pinang pun melibatkan 400,000 pemegang akaun.
Penyokong Muhammad Sanusi Md Nor tidak sedar yang pemimpin PAS itu pandai bercakap sahaja. Mereka mungkin bangga apabila pemimpin PAS itu pernah berseloroh untuk mengalihkan sumber air mentah Sungai Muda kalau kerajaan negeri Pulau Pinang tidak penuhi tuntutan pampasan yang munasabah.
Mereka tak sedar bahawa Muhammad Sanusi seorang pemimpin yang lemah dalam menguruskan sumber air mentah negeri. Mereka tak sedar Muhammad Sanusi hanya pandai bercakap pandai tetapi tin kosong sahaja.
Kerana kelemahan Muhammad Sanusi memastikan sistem automatik pada pintu baraj di Sungai Muda berfungsi dengan elok, telah menjejaskan gangguan bekalan air kepada kira-kira 600,000 pemegang akaun termasuk keluarga PAS sendiri di kedua-dua negeri itu. Ini, mungkin di luar kesedaran penyokong Muhammad Sanusi.
Di sebalik insiden paras Sungai Muda, Kedah susut secara mendadak baru-baru ini, ramai mula melihat kepentingan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) yang melibatkan beberapa dasa dengan anggaran kos keseluruhannya RM1.2 bilion.
‘Empangan Strategik’ itu tidak boleh menyalurkan kembali air mentah dalam kuantiti 1,0000 Juta Liter Sehari (MLD) ke Sungai Musa bagi memenuhi operasi mengabstrakkan sumber air mentah di LRA Sungai Dua secara optimum kerana beberapa komponen projek di bawah MDEP tertangguh dan tak siap ikut jadual berwajib.
Semasa Pemukiman Penerangan Umno Malaysia 2023 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) dekat Janda Baik, Pahang semalam, ada saya menjelaskan bahawa ramai pihak mula bercakap di Pulau Pinang bahawa mereka ingin Umno dan BN kembali menjadi kerajaan persekutuan pasca PRU16.
Kata saya, fasa 1 MDEP yang melibatkan kerja-kerja pembesaran empangan strategik tersebut boleh dimulakan pada tahun 2011 dan siap sepenuhnya pada 10 April 2017 jika kerajaan persekutuan era Umno BN tidak menyalurkan RM607 juta dalam bentuk geran persekutuan (bukan hutang) untuk Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyegerakan projek tersebut. Ini, contoh.
“Ramai mula bercakap bahawa hanya Umno dan BN ada kemampuan mengadakan polisi ekonomi rakyat seumpama MDEP ini. PAS tak ada kemampuan itu, manakala Muhammad Sanusi pula pandai buat bising itu dan ini sahaja untuk menutup kelemahannya yang lemah dalam menguruskan industri air negeri Kedah,” kata saya kepada beberapa rakan peserta pemukiman dari negeri Kedah dan Kelantan di Janda Baik, semalam.
Seorang TikTokers terkenal dari Kelantan, kalau tak salah dikenali sebagai ‘Mat Usin’ dalam reaksi spontan berkata, “kalau ingin Umno BN kembali memerintah Kerajaan Persekutuan pasca PRU16, rakyat Kelantan kena tumbangkan rejim PAS dalam PRN (pilihan raya negeri) ini dahulu.”
Bagi saya pendapat Mat Usin relevan memandangkan Timbalan Perdana Menteri I Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Malaysia baru kelmarin mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk memulihkan industri air terawat di negeri Kelantan.
“PAS Kelantan sama sahaja dengan Muhammad Sanusi di Kedah, pandai tunggang agama tetapi lemah dalam memulihkan industri air bersih di kedua-dua negeri majoriti umat Islam dan Melayu itu,” seloroh saya kepada kawan-kawan dalam permukiman tersebut.
ZAINULFAQAR YAACOB merupakan setiausaha Jawatankuasa Penerangan Umno Pulau Pinang dan pernah menjadi ahli seumur hidup PAS suatu ketika dahulu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/04/c7ea51d809b53706c43af89fbeb89b64.jpg)
