SURAT | Kempen Bayar Intern Kita sebagai jalan tengah
SURAT | Pemuda Amanah mengusulkan agar kempen "Bayar Intern Kita" digerakkan di seluruh negara bagi menormalisasikan pembayaran elaun kepada semua mahasiswa.
Memandangkan hampir 60 peratus lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran setiap tahun, sebarang penindasan kebajikan mahasiswa hanya akan melemahkan semangat generasi muda untuk melanjutkan pelajaran.
Kempen "Bayar Intern Kita" diusulkan sebagai salah satu cara mengangkat kebajikan mahasiswa dan sebagai tanda solidariti kepada protes adik Rashifa Aljunied baru-baru ini.
Namun pada masa yang sama Pemuda Amanah mengambil berat tentang kebajikan para majikan, terutamanya pemilik perniagaan mikro dan kecil.
Memang tidak adil untuk memaksa semua majikan yang sedang bergelut dengan kos perniagaan untuk membayar elaun tetap kepada semua pelatih latihan industri.
Pepatah Melayu ada menyebut “membagi sama adil, memotong sama panjang”, jika elaun mandatori dilaksanakan ke atas semua perniagaan, ia boleh mengakibatkan ramai majikan menghentikan pengambilan intern, seterusnya menutup peluang mahasiswa menimba pengalaman industri.
Melalui kempen "Bayar Intern Kita", Pemuda Amanah mencadangkan jalan tengah untuk isu ini.
Semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat persekutuan dan negeri diwajibkan melaksanakan elaun minimum RM900 hingga RM1,000 sebulan bagi setiap pelatih latihan industri.
Ini juga terpakai kepada syarikat-syarikat swasta besar di Malaysia.
Bagi perniagaan mikro dan kecil pula, semua majikan harus diwajibkan membayar elaun makanan dan elaun pengangkutan mengikut hari bekerja.
Pemuda Amanah mencadangkan agar kerajaan mengkaji kesan langkah ini atas keuntungan majikan dan jika perlu, boleh mempertimbangkan insentif cukai khas atas pembayaran elaun.
Ini akan membantu majikan menguruskan impak terhadap kos. Namun, selaras dengan hasrat utama kempen "Bayar Intern Kita", mana-mana majikan yang berkemampuan digalakkan supaya membayar sejumlah elaun yang dapat menanggung kos asas harian mereka.
Selain usaha ini, Pemuda Amanah juga meminta Kementerian Pengajian Tinggi untuk menilai semula keberkesanan program latihan industri.
Negara-negara maju seperti United Kingdom dan beberapa negara Eropah tidak lagi melaksanakan latihan industri secara wajib dan ada yang telah mansuhkan program sebegitu untuk digantikan dengan inisiatif yang lebih efisien bagi mengenal pasti bakat dan peluang pekerjaan buat mahasiswa.
Tidak ada gunanya kita bercakap soal mencapai status negara maju jika anak muda berpelajaran tidak dibayar setimpal dengan usaha mereka.
Produktiviti pelatih latihan industri seharusnya dipadankan dengan elaun yang sesuai. Jika tidak para majikan tidak boleh mengharapkan kualiti kerja yang tinggi.
Pihak syarikat bukan sahaja berperanan meningkatkan pulangan untuk pelabur, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial yang meliputi kebajikan di tempat kerja.
AMMAR ATAN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/08/0b14c564e8629dd44ced91d710c7941b.jpg)
