SURAT | Tak perlu takut jatuh sakit lagi kerana ada SPM
Baru-baru ini, saya dan dua orang anak saya yang masing-masing berumur 8 dan 10 tahun, telah jatuh sakit. Kami mengalami demam yang berkemungkinan besar berpunca dari jangkitan di sekolah anak-anak.
Bagi kami yang hidup secara sederhana di tengah-tengah ibu kota, jatuh sakit adalah sesuatu yang amat membebankan. Bukan sahaja ia menjejaskan keadaan fizikal, ia merupakan satu tanggungan kewangan, lebih-lebih lagi bila lebih dari seorang ahli keluarga perlu mendapatkan rawatan di klinik swasta pada masa yang sama.
Maklumlah, kos konsultasi dan perubatan bukan murah sekarang. Untuk batuk dan selsema pun boleh mencecah RM40 seorang, dan mungkin lebih mahal, jika doktor beri preskripsi antibiotik.
Namun, Alhamdulillah saya dapat menggunakan kemudahan Skim Perubatan Madani (SPM) yang dilancarkan oleh kerajaan bulan lepas. Menerusi skim ini, lawatan saya ke klinik swasta tempoh hari bersama dua orang anak adalah percuma. Ini termasuk ubat yang diberikan doktor.
Proses mendaftar pun amat mudah, cuma perlu membawa kad pengenalan saya selaku ketua isi rumah serta anak-anak. Segala proses dilakukan secara atas talian di klinik dan tidak melibatkan karenah birokrasi yang rumit.
Saya percaya jika saya menggunakan duit sendiri untuk membayar, caj konsultasi dan perubatan mungkin mencecah RM100 untuk kami bertiga. Alhamdulillah, saya tidak dikenakan sebarang bayaran pun kerana tergolong dalam kategori isi rumah B40. Kami sekeluarga dapat menggunakan kemudahan ini sehingga akhir tahun ini dengan had RM250 untuk setiap isi rumah.
Bagi yang mampu, mereka mungkin memandang enteng akan inisiatif ini. Tetapi tatkala kos sara hidup semakin mencabar, inisiatif sebegini amat-amat dihargai oleh golongan kurang berkemampuan.
Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih ke atas kerajaan, khasnya Kementerian Kesihatan di bawah pimpinan Dr Zaliha Mustafa atas keprihatinan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
MOHD YAAKOB SULAIMAN ialah pembaca Malaysiakini yang menetap di Kepong.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/07/6dc88843afc8617ff248b0bbce72811c.jpg)
