Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), sebuah forum industri dan badan kawal selia kendiri yang komited dalam menegakkan kandungan yang bertanggungjawab dan beretika, bimbang mengenai laporan berita contohnya seperti tragedi Elmina yang memaparkan gambaran grafik mangsa dan keadaan penemuan jasad yang mendukacitakan.

Kejadian yang berlaku pada 17 Ogos 2023 itu melibatkan kemalangan tragis kapal terbang yang mengakibatkan kecederaan dan kematian. Walaupun peristiwa itu sendiri jelas meruntun perasaan, liputan yang dibuat oleh beberapa laporan berita selepas itu mengandungi gambaran grafik yang keterlaluan dan tidak wajar, menyebabkan tekanan dan keresahan di kalangan pembaca dan warga industri.

CMCF dengan tegas berpegang kepada peranan penting kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat sambil mengekalkan rasa hormat terhadap individu yang terlibat, keluarga, dan orang yang mereka sayangi. Adalah penting supaya media menjaga keseimbangan antara memberikan butiran maklumat penting dan mengamalkan empati semasa melaporkan kejadian seperti ini.

Kami mengakui terdapat cabaran dalam melaporkan topik sensitif seperti ini, terutamanya apabila melibatkan banyak kecederaan dan kematian. Kami juga faham kepentingan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang berkaitan kepada orang ramai, termasuk butiran yang diberikan oleh penyelamat dan pihak berkuasa mengenai keadaan pencarian atau penemuan mangsa.

Namun begitu, penting bagi media untuk menggunakan budi bicara editorial dengan mempertimbangkan kesan gambaran grafik ke atas pembaca dan individu yang terkesan serta keluarga mereka. Pelaporan secara bertanggungjawab melibatkan maklumat yang tepat sambil mengelakkan elemen sensasi, agar mengekalkan rasa hormat terhadap maruah dan privasi mangsa serta orang tersayang.

Kejadian ini adalah pengajaran tentang tanggungjawab beretika yang diamanahkan kepada ahli media. CMCF menggesa wartawan dan organisasi berita untuk memberi keutamaan kepada empati dan belas kasihan dalam usaha mencari dan melaporkan kebenaran.

Sebagai sebuah badan yang menggalakkan amalan kewartawanan beretika, CMCF memperjuangkan pematuhan terhadap Kod Kandungan dan kod-kod etika yang relevan demi memastikan kebertanggungjawaban dan penekanan kepada piawaian kewartawanan beretika.

Pada zaman ini, di mana perkongsian maklumat pantas dan meluas, adalah penting bagi masyarakat untuk menggunakan budi bicara ketika memilih sumber berita. Memilih penerbitan yang menekankan laporan bertanggungjawab dan empati dapat menyumbang dalam memupuk masyarakat yang lebih penyayang dan harmoni.

Selain itu, kami juga ingin menekankan kepentingan pengguna media sosial untuk bersama-sama menggunakan pertimbangan yang baik dan empati ketika menyebarkan atau berkongsi semula maklumat yang berkaitan dengan tragedi ini dan yang serupa dengannya. Sama seperti kewartawanan bertanggungjawab, perkongsian kandungan yang bijak juga memainkan peranan penting dalam memupuk empati dan mendorong wacana beretika. Kami menasihatkan pengguna media sosial untuk mempertimbangkan akibat perkongsian mereka terhadap individu dan keluarga yang terkesan oleh peristiwa tragis.

Bersama-sama, kita dapat mencipta landskap media yang menegakkan laporan bertanggungjawab dan menghormati maruah dan privasi mereka yang terkesan.

Untuk pertanyaan media atau maklumat lanjut mengenai amalan kewartawanan yang bertanggungjawab, sila hubungi CMCF di secretariat@contentforum.my. 


CMCF merupakan organisasi kawal selia kendiri dan forum industri yang berdaftar bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan diperuntukkan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM '98) untuk menyelia dan mempromosikan kawalan kendiri kandungan melalui medium elektronik berangkai. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.