Umum mengetahui keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, anggota parlimen Muar dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk keluar dari  gabungan kerajaan perpaduan semalam. 

Kami telah menjangkakan tindakan dan keputusan ini dari pihak  Muda sejak dahulu lagi.   

Tindakan beliau serta Muda semalam  kononnya  disebabkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim hari ini telah melanggar “garis merah” prinsip perjuangan mereka.

Dalam usaha negara kini menuju ke arah sebuah negara Malaysia Madani, sebagai seorang pemimpin Muda di peringkat nasional  beliau harus bersama-sama  membantu  dan  menggembleng  tenaga  membantu  kerajaan  dalam  menyumbang idea-idea  dan dasar  bernas  terhadap nasib golongan rentan serta belia, bukan hanya berperanan sebagai  individu yang mencari salah kerajaan.

Kami ingin mengingatkan saudara  Syed  Saddiq  supaya  jangan  “hanya  pandai berkokok  umpama  ayam  jaguh  tapi  hakikatnya,  ekor  bergelumang  tahi”.  

Umum  mengetahui bahawa beliau sendiri terlibat dalam perbicaraan atas empat pertuduhan  

bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (Amla)  di peringkat Mahkamah Tinggi. 

Harus diingatkan ketika pilihan raya umum DUN di enam buah negeri yang lalu pun, Muda sendiri telah melanggar konsensus bersama  gabungan  perpaduan  dengan  meletakkan  calon  menentang  parti-parti gabungan  kerajaan.  

Jika benar beliau membuat keputusan ini atas  dasar prinsip, maka beliau juga wajib menzahirkan prinsip beliau yang sebenar.  

Mengimbas  kembali  senario  pilihan raya  umum DUN  Johor  pada  tahun  2022,  atas sokongan  dan semangat yang tidak berbelah bahagi dari penyokong tegar  dan  jentera-jentera  Pakatan  Harapan,  Amira  Aisya  memenangi  kerusi  DUN Puteri Wangsa dan Syed  Saddiq  memenangi  kerusi  parlimen Muar  pada  pilihanraya  umum  ke-15  atas semangat yang sama.  

Atas  semangat  itu,  hari ini  parti Muda mempunyai  dua orang  wakil  rakyat.  

Bayangkan jika penyokong PH tidak menyokong mereka, tentunya  mereka bakal kehilangan deposit.Atas nama prinsip perjuangan, saya gesa semua wakil  rakyat  dari  parti  Muda  perlu meletak  jawatan dan kembalikan  sokongan  kepada rakyat semula. Ini barulah dikatakan berprinsip jitu.  

 Syed Saddiq tidak perlu mengatakan orang lain jahat untuk menyatakan dirinya  baik. 

Jika prinsip menjadi ukuran, maka prinsip beliau pasti lebih baik lagi. 

Jadi ini masanya untuk membuktikan kononnya parti Muda membawa  idealisme serta politik  baharu  dalam  negara.  

Pesanan  saya  kepada  Muda  dan  saudara  Syed  Saddiq, jangan jadi ibarat “bintang di langit boleh dibilang, tetapi arang di muka  tidak sedar”.   


ABSHAR NURASYRAF  ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.