SURAT | Yuran transaksi QR DuitNow patut dimansuhkan
SURAT | Pemuda Amanah mendesak PayNet selaku operator QR DuitNow untuk menarik balik keputusan mengenakan yuran transaksi 0.25 peratus serta-merta.
Kami juga menolak kenyataan terbaru Bank Negara Malaysia (BNM) - pemegang saham terbesar PayNet - bahawa yuran transaksi akan dikecualikan hanya untuk peniaga mikro dan kecil.
Yuran transaksi ini sepatutnya dikecualikan untuk semua peniaga tanpa mengira saiz perniagaan. Pemuda Amanah mahu PayNet dan BNM memberikan jaminan bahawa yuran tersebut akan dimansuhkan selama-lamanya.
Kami juga mempersoalkan logik di sebalik yuran transaksi tersebut.
Dengan beralih kepada penggunaan QR DuitNow, bank-bank di Malaysia telah dapat menjimatkan kos pengendalian wang tunai, termasuk proses penyimpanan tunai secara fizikal dan kebergantungan terhadap mesin juruwang automatik (ATM).
Kerosakan wang tunai juga dapat dikurangkan dan seterusnya akan mengurangkan kos ditanggung oleh BNM.
Mengapa penjimatan ini tidak disalurkan kepada pengguna dengan mengekalkan pengecualian yuran transaksi QR DuitNow?
Apakah bank-bank yang mengumpul untung berbilion ringgit saban tahun tidak dapat menyerap kos 0.25 peratus tersebut?
Masih ramai peniaga yang belum beralih ke arah transaksi digital, dan tindakan PayNet mengenakan yuran transaksi pastinya akan membantutkan proses ini.
Mahukah PayNet - yang dimiliki BNM dan 11 bank komersial lain - mengganggu proses pendigitalan negara?
Tidak dinafikan, kadar 0.25 peratus adalah kecil untuk para perniagaan di luar sana. Namun ia adalah soal prinsip.
Jika bank-bank menikmati penjimatan seperti yang dinyatakan di atas, apa salahnya mengecualikan kos tersebut?
Jika ada bank yang berkeras mahu mengenakan yuran transaksi ini, Pemuda Amanah mendesak mereka menjelaskan secara terbuka kos yang ditanggung dan mengapa yuran transaksi perlu dikenakan.
Jika alasan berkenaan tidak relevan, eloklah bank-bank terbabit diboikot kerana ternyata mereka lebih mementingkan kantung laba saja.
Pemuda Amanah berharap BNM dan bank-bank tempatan mempertimbangkan semula keputusan mereka.
AMMAR ATAN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/8e84bea7a6ee6fdb136256cbf898054c.jpg)
