Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap kadar nahas jalan raya yang begitu tinggi di kalangan pengguna motosikal serta kelemahan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan.

Menteri Dalam Negeri Saifudin Nasution Ismail menyatakan kesediaan untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha mengurangkan jumlah nahas jalan raya melibatkan penunggang motosikal.

Jika semasa era Covid-19 kerajaan perkenalkan vaksin untuk menyelamatkan nyawa rakyat, maka ‘vaksin’ untuk membendung kemusnahan pengguna motosikal boleh diacu dan harus digerakkan.

Saya menyarankan dan menggesa kerajaan harus mengambil tindakan drastik dengan menggubal undang-undang baru dalam pembelian motosikal dan memperkenalkan kategori baru perlesenan motosikal sepertimana pernah dicadangkan polis.

Bagi setiap 100 kematian di jalan raya, 70 adalah pengguna motosikal menurut data kematian di jalan raya tahun lalu disediakan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Kumpulan tertinggi adalah mereka yang berumur 16 hingga 20 tahun dan ramai juga golongan penunggang motosikal berumur enam hingga 15 tahun terkorban dan cedera. 

(Lihat lampiran data mangsa pengguna motosikal mengikut umur).

Saya jangkakan jumlah kematian dan kecederaan bagi penunggang motosikal golongan remaja dan kanak-kanak akan terus meningkat setiap tahun jika melihat ‘trend’ sejak beberapa tahun kebelakangan akibat tiada tindakan serius dan menyeluruh oleh kerajaan.

Gesaan penyelesaian

(A) Menghalang pembelian motosikal terhadap mereka tiada lesen memandu atau menunggang untuk motosikal kapcai dari 100cc sehingga 185cc dan juga 250cc & 500cc ke atas

  • Tiba masanya kerajaan dan pihak berkuasa menggubal undang-undang baru dengan tidak membenarkan mereka yang tiada lesen memandu dari membeli motosikal underbone atau kapcai dari 100cc sehingga 185cc.

  • Amalan ini sudah lama berlaku tanpa kawalan dan mengakibatkan ramai pembeli tiada lesen memandu menunggang motosikal tanpa lesen kerana beranggapan sudah mahir mengendali motosikal. Ini juga berlaku kepada golongan mampu membeli motosikal berkuasa besar 250cc dan 500cc ke atas tanpa dikesan pihak berkuasa.

  • Ini kerap berlaku di kalangan ibu bapa tiada lesen menunggang dengan membelikan kapcai untuk anak-anak mereka sebagai kenderaan ke sekolah dan menyebabkan ramai remaja tidak arif selok-belok peraturan lalu lintas dan sering terlibat dalam nahas jalan raya.

Saya difahamkan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dalam proses merangka undang-undang baru berkaitan pembelian motosikal oleh golongan tiada lesen menunggang dan saya menggesa agar draf undang-undang ini dipercepatkan untuk pembentangan di Dewan Rakyat.

(B) Memperkenalkan kategori baru lesen, iaitu B3, bagi motosikal berkuasa rendah 70cc untuk golongan remaja dan dewasa dari 16 hingga 25 tahun.

  • Pada 8 Oktober 2019, PDRM memberikan cadangan untuk menyelesaikan masalah rempit samseng jalanan serta bentuk budaya baru bermotosikal di kalangan golongan muda pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di Sepang.

  • PDRM mengusulkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mewujudkan satu kategori perlesenan baru bagi pemohon lesen motosikal baru untuk golongan 16 hingga 25 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal berkapasiti kecil combustion engine (90cc ke bawah) seperti skuter atau kapcai 70cc ataupun hanya menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah.

  • Ini mengikuti amalan di Jepun dan United Kingdom, yang penunggang motosikal golongan muda dari umur 16 tahun hanya layak tunggang motosikal dengan kelajuan maksimum 90km/j.

  • PDRM mencadangkan usul itu untuk membentuk budaya bermotosikal baru agar golongan remaja tidak lagi menunggang kapcai 100cc hingga 185cc yang mampu mencapai kelajuan antara 140 km/j sehingga 160km/j.

  • Namun, usul Perkara 9.4 mengikut minit MAT MKJR yang ke-60 seperti diusulkan PDRM dipandang sepi oleh Kementerian Pengangkutan dan JPJ sehingga ke hari ini.

  • Pada 25 November 2021, cadangan bagi melaksanakan kajian mengenai keberkesanan menghadkan penunggang berumur 16 hingga 25 tahun untuk hanya menunggang motosikal berkapasiti enjin bawah 90cc dibincangkan di peringkat Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan diminitkan sebagai 52.4 (2). 

Kertas 2-52 LPM ini disokong sepenuhnya oleh pengerusi Miros waktu Suret Singh berserta kesemua ahli lembaga pengarahnya. 

Sehingga ke hari ini, status pelaksanaan kertas cadangan ini, yang telah diluluskan oleh lembaga pengarah Miros, tidak diketahui.

Jika kerajaan serius dan bersungguh-sungguh mahu membasmi masalah rempit samseng jalanan dan mengurangkan kematian serta nahas jalan raya yang amat tinggi di kalangan pengguna motosikal, sila laksana usul yang dicadangkan PDRM pada Mesyuarat Agung Tahunan MKJR lima tahun lalu.

Mohon juga digubal undang-undang baru bagi kawal pembelian motosikal untuk golongan tiada lesen memandu.


SHAHRIM TAMRIN ialah aktivis keselamatan Jalan raya dan bekas anggota Lembaga Pengarah Miros yang berkhidmat dari Januari 2019 hingga Januari 2022.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.