SURAT | Walaupun siasatan dan tuduhan terhadap dakwaan rasuah bukanlah sesuatu yang boleh dianggap baik dan boleh dijadikan bahan teladan bagi mana-mana negara sekali pun, kes menteri S Iswaran ini boleh dijadikan pemerhatian dan contoh bagaimana kepimpinan Singapura menangani isu rasuah dan salah guna kuasa, sejak Singapura tertubuh pada tahun 1963 lagi.

Dalam kes pendakwaan rasuah bekas Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran baru-baru ini, ada banyak yang boleh dilihat sebagai budaya dan amalan 'integriti dan kredibiliti' kepimpinan kerajaan Singapura, dulu dan kini.

Pertama, kes pendakwaan rasuah terhadap S Iswaran adalah kes pertama seorang menteri dalam tugasan (a sitting minister) yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Walaupun sekitar tahun 1986, seorang menteri perpaduan pernah diberikan notis oleh CPIB atau Biro Siasatan Amalan Rasuah dan direstui oleh perdana menteri ketika itu, untuk pendakwaan kes rasuah, namun beliau tidak dihadapkan ke mahkamah kerana meninggal dunia sebelum dituduh di mahkamah.

Kes yang melibatkan seorang menteri yang disyaki ditaja lawatan ke luar negeri telah ditangkap sebaik tiba di lapangan terbang dan terus dipecat.

S Iswaran

Begitu juga dengan beberapa kes siasatan terhadap sewaan banglow menteri, dakwaan salah laku pegawai tinggi kerajaan atau anak pemimpin kerajaan yang disiasat tanpa mengira siapa dan status mereka.

Umumnya kepimpinan negara Singapura memang tidak dapat dinafikan punyai tahap integriti, kredibiliti dan ketelusan yang amat tinggi dibandingkan dengan negara lain di rantau dan di dunia ketika ini.

CPIB yang walaupun diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara sebelum ini, jika perdana menteri menolak untuk diteruskan siasatan terhadap individu terlibat, CPIB boleh merujuk kepada presiden untuk tindakan seterusnya.

Fakta jelas yang menunjukkan bahawa Biro Siasatan Amalan Rasuah benar-benar bebas dalam pentadbiran kerajaan Singapura.

Dan paling ironinya, apapila berlaku sebarang siasatan atau pertuduhan amalan rasuah atau salah guna kuasa terhadap pemimpin atau tokoh politik, tidak pula kita dengar ayat-ayat “siasatan terpilih” atau “pendakwaan politik” atau “character assination” atau “pendakwaan balas dendam” dan berbagai dalil dan fatwa politik rekacipta yang diuar-uarkan ke seluruh penyokong mereka dan rakyat amnya.

Bekas menteri S Iswaran, apabila diberikan notis siasatan CPIB, dia terus berjumpa perdana menteri dan meletakkan jawatan serta keluar dari parti.

Dia hanya menggunakan kaedah proses undang-undang untuk membela dirinya dari dakwaan dan tuduhan, di mahkamah terbuka.

Antara sikap terbuka dan terpuji budaya kepimpinan dan masyarakat Singapura tentang amalan urusan tataurus pemerintahan negara.

Di Malaysia, dalam keghairahan dan kesibukan pemimpin politik Malaysia mentafsirkan apa itu 'leaders dan leadership' dan 'siapa lebih Islam atau lebih Melayu atau siapa lebih patriotik' di antara sesama warganegara sebangsa, elok juga mereka mentelaah dan menghadamkan budaya dan amalan masyarakat sivil di Singapura.

Paling kurang tanamkanlah sedikit rasa 'cemburu' dengan rekod sejarah dan indeks persepsi rasuah di kalangan kepimpinan negara Singapura, dulu dan kini.



RAMLI MOHD YUNUS merupakan pembaca Malaysiakini dari Alor Setar, Kedah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.