Selepas pilihanraya kecil DUN Lunas, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional telah memaparkan berjenis-jenis alasan yang tidak munasabah. Antaranya, Presiden MIC, Dato Samy Vellu telah memarahi pihak polis dan membuat tuduhan bahawa polis ''takut'' kepada Keadilan dan memihak kepada mereka.

Jelasnya, Dato Samy Vellu berbuat sedemikian bertujuan mengalihkan perhatian orang ramai terhadap janji yang dibuat olehnya pada masa kempen pilihanraya kecil, iaitu dia tidak akan pulang ke Kuala Lumpur dan tinggal selamanya di Lunas jika Barisan Nasional ditewas dalam pilihanraya kecil ini.

Tidak hairanlah apabila kita dimaklumkan bahawa Samy Vellu tidak menepati janjinya kerana ini memang ''tradisi'' Barisan Nasional yang tidak bertangggungjawab.

Namun begitu, helah yang digunakan oleh Samy Vellu ini telah mencabuli maruah semua polis di Malaysia. Samy Vellu memarahi pihak polis seumpama dia adalah taukeh kepada polis.

Anggapannya ini merupakan anggapan yang tidak masuk akal sekali. Ia bukan sahaja suatu penghinaan kepada pihak polis, malah dia telah menghinakan rakyat juga.

Samy Vellu dan juga semua menteri-menteri kabinet mesti jelas bahawa mereka bukan Raja tetapi mereka cuma pekerja-pekerja yang dilantik dan digaji oleh rakyat untuk mengendalikan negara ini sahaja! (Malah, ada juga menteri yang bukan dilantik oleh rakyat yang sepatutnya tidak layak menjadi menteri.)

Lantaran itu, dia tidak berhak memerintah polis bekerja mengikut kehendak dan motif politiknya.

Sebenarnya, pengendalian polis terhadap krisis ''pengundi hantu'' yang berlaku pada hari pengundian DUN Lunas yang tidak berat sebelah harus dipuji dan disanjungi tinggi.

Pihak polis bukan sahaja berjaya menahan 19 buah bas yang membawa penumpang-penumpang yang disyaki pengundi-pengundi hantu bersama-sama penyokong-penyokong Barisan Alternatif, bahkan tidak menunduk kepada cabaran dan ugutan ahli-ahli Umno dan MIC.

Meskipun pada ketika itu, balai polis Lunas dibanjiri oleh beratus-ratus ahli-ahli Umno dan MIC yang bersikap angkuh dan berkelakuan seperti samseng, pihak polis Lunas tetap menjalankan tugas mereka dengan adil dan saksama.

Ahli-ahli UMNO dan MIC cuba mendominasi keadaan dengan bilangan ahli yang banyak. Mereka memberi ''amaran'' kepada saya bahawa keselamatan saya mungkin terancam jika kami tidak bersetuju menarik balik tuduhan kami dan ''penyokong-penyokong'' mereka tidak dilepas dengan segera.

Mujurlah pihak polis Lunas berjaya mengawal situasi tersebut. Polis tidak berkompromi kepada desakan BN, iaitu hanya menyiasat lima orang penumpang. Penegasan pihak polis untuk membuat penyiasatan yang lebih lanjut supaya satu pilihanraya yang adil dapat ditegakkan memang merupakan sesuatu yang munasabah dan kami amat hargai usaha mereka.

Selama ini, polis, askar dan guru di Malaysia tidak mendapat ganjaran yang sewajarnya. Saya dimaklumkan bahawa gaji seorang polis hanya sebanyak lebih kurang RM600 sahaja! Dalam masyarakat yang mana kadar inflasi melambung ini, gaji sebanyak RM600 amat tidak memadai, apalagi untuk menyara hidup sekeluarga?

Belanjawan tahun 2001 memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk pembinaan dan pembangunan projek-projek seperti empangan air ''gergasi'', Twin Towers, Putrajaya, ''istana'' Dr. Mahathir dan projek-projek ''white elephant'' lain yang tidak memanfaatkan rakyat langsung dan mengabaikan penghidupan kakitangan kerajaan.

Tambahan pula, berpolis merupakan kerja yang sungguh berbahaya dan bertekanan tinggi. Mereka perlu menanggung risiko yang tinggi, iaitu mereka mungkin mengorbankan nyawa mereka pada bila-bila masa jua.

Kerajaan BN bukan sahaja tidak memberi hormat dan penghargaan yang sewajarnya, malah Samy Vellu sanggup melakukan perbuatan yang menghina sekali terhadap mereka demi manfaat sendiri.

Malaysia sepatutnya mencontohi negara-negara lain seperti Hong Kong, United Kingdom, Australia dan Singapura, di mana kakitangan kerajaan seperti pasukan polis mendapat ganjaran yang lumayan.

Dengan berbuat demikian, bukan sahaja kakitangan kerajaan dapat menerima penghargaan yang munasabah dan berperikemanusiaan, bahkan gejala rasuah juga dapat dicegah. Setiap rakyat biasa menghadapi masalah ekonomi yang semakin membebankan, terutamanya selepas berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1997.

Polis sebagai kakitangan kerajaan tidak seperti orang biasa yang boleh bekerja sambilan untuk menambahkan rezeki. Oleh sebab itu, polis terpaksa menanggung beban hidup yang berat sekali.

Demi pasukan polis yang boleh menjalankan tugas mereka dengan adil dan cekap, kerajaan mesti memperbaiki taraf kehidupan mereka dengan segera.

Saya menyeru supaya Samy Velly meminta maaf semua anggota polis di Malaysia sekarang juga.

Saya juga menyeru kerajaan BN meningkatkan pendapatan polis, memperbaiki keadaan tempat penginapan polis serta keluarga mereka dan menambahkan lagi peluang latihan dan pelajaran lanjutan.

Di samping itu, kerajaan bertanggungjawab menjamin kebebasan pasukan polis untuk menjalankan tugas mereka. Sebarang gangguan daripada pihak luar, khasnya ahli-ahli politik, mesti dihalang sama sekali.