Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Perasuah, bukan anak muda pengancam negara

SURAT | Saya menyambut baik dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selepas beliau menegaskan bahawa pelajar yang terlibat dalam Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 tidak sepatutnya dikenakan tindakan buang universiti.

Pendirian itu bukan sahaja mencerminkan nilai keterbukaan dan ketegasan dalam menjunjung prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara, malah mengingatkan kita kepada asal-usul perjuangan reformasi yang lahir dari jalanan, berlandaskan semangat keberanian menuntut kebenaran dan menolak kezaliman pentadbiran yang menyalahgunakan kuasa.

Tambahan pula, tujuan utama perhimpunan tersebut adalah untuk menyuarakan tentangan terhadap rasuah, satu masalah yang telah lama mencengkam sistem pentadbiran negara dan merugikan rakyat.

Usaha untuk membanteras rasuah, apatah lagi yang digerakkan oleh anak muda, seharusnya disambut dengan sokongan dan ruang dialog, bukan dengan siasatan, pendakwaan atau tindakan disiplin.

Sebagai parti yang lahir dari gelombang reformasi dan perjuangan jalanan, parti pemerintah hari ini mempunyai kekuatan, kestabilan dan ruang kebijaksanaan untuk menangani perbezaan pandangan dengan cara yang matang, tanpa mengulangi gaya pemerintahan lama yang menindas suara anak muda melalui tekanan dan intimidasi.

Saya berpendirian bahawa siasatan serta pendakwaan terhadap para aktivis mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan awam harus dihentikan serta-merta.

Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948 juga wajar dikaji semula dan digubal agar lebih menjamin hak asasi serta kebebasan bersuara rakyat.

Memang lumrah bagi generasi muda untuk bersikap kritis, melawan arus perdana dan mencabar status quo. Ini bukan satu ancaman, malah harus dilihat sebagai isyarat dan cerminan yang sihat bagi pihak berkuasa agar terus berpijak di bumi nyata, bersikap inklusif dan memastikan tidak ada suara yang dipinggir dalam usaha membina negara yang adil, telus dan progresif.

Kita harus menggalakkan semangat partisipasi anak muda dalam demokrasi, termasuk berani menegur, bertanya, dan bersuara, kerana hanya dengan cara itu negara ini akan terus matang dan maju.

Saya berharap institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa dapat menzahirkan semangat ini secara konsisten, mengangkat suara mahasiswa, bukan menekannya.


CHAN CHUN KUANG ialah Adun Semambu di Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS