SURAT | Pemuda Keadilan (AMK) Setiu merujuk kepada perkembangan politik semasa, termasuk penganjuran himpunan Turunkan Anwar oleh pembangkang yang semakin menyerlahkan kerapuhan hala tuju dan ketandusan idea sebenar mereka untuk masa depan negara.
AMK Setiu ingin menegaskan bahawa pembangkang ketika ini bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia.
Pada saat negara sedang melalui proses pemulihan ekonomi dan pengukuhan institusi, pembangkang pula terus hanyut dengan retorik kosong dan tindakan populis yang tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara.
Terdapat dua perkara asas yang membuktikan kegagalan pembangkang:
1. Ketiadaan idea alternatif yang kukuh
Sehingga ke hari ini, pihak pembangkang masih gagal mengemukakan sebarang dasar atau pelan alternatif yang jelas bagi menggantikan polisi-polisi kerajaan. Mereka hanya tampil untuk menolak dan mengkritik, tetapi apabila ditanya tentang jalan penyelesaian, jawapan mereka kosong.
Sikap ini menunjukkan mereka tidak bersedia untuk menjadi pemerintah.
2. Tiada tokoh layak menggantikan Anwar
Pembangkang juga tidak menamakan mana-mana tokoh yang berwibawa untuk diangkat sebagai perdana menteri sekiranya mereka berjaya mengambil alih kuasa.
Ketiadaan calon ini adalah petanda jelas bahawa mereka tidak mempunyai pemimpin yang diyakini rakyat.
Jika benar perjuangan pembangkang ialah menyelamatkan Malaysia maka jangan takut mahupun gentar nyatakan dasar-dasar alternatif dan tokoh yang mahu diangkat sebagai perdana menteri pembangkang.
Rakyat Malaysia memerlukan kestabilan, dasar yang inklusif, dan kepimpinan yang meyakinkan.
Pembangkang tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa mereka mampu atau bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.
AMK Setiu menyeru seluruh rakyat, khususnya golongan muda, untuk terus menilai dengan bijak dan berfakta. Kita mahu negara ini berkembang maju demi masa depan kita semua.
AIMAN WAN ALIAS ialah Ketua Penerangan AMK Setiu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
