Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Usah lihat kes Zara Qairina dari mata politik

SURAT | Isu kematian Zara Qairina Mahathir sememangnya mendapat perhatian umum dan menjadi antara kes berkepentingan awam saat ini. Namun ada yang menyatakan bahawa “suara DAP kurang keras” mengenai isu ini.

Benarkah?

Adalah ironi sekali apabila meminta Pemuda DAP membuat laporan polis ketika Jabatan Peguam Negara telah mengumumkan bahawa pendakwaan berkaitan kes itu akan dibuat.

Janganlah kuman di seberang lautan nampak, gajah yang memang keras mencabar kedaulatan undang-undang di depan mata pula tidak nampak.

Sejak Zara Qairina dikebumikan pada 17 Julai 2025 kesnya mendapat perhatian ramai, selain terpalit dengan lambakan berita palsu, pendedahan maklumat yang tidak disahkan, malah dijadikan bahan kandungan media sosial untuk mendapatkan tontonan.

Tidak ketinggalan, ia menjadi bahan tunggangan sesetengah ahli politik untuk modal murahan mereka.

Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda DAP pada 18 Ogos lalu dengan tegas dan tanpa berkompromi menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan reformasi kurikulum.

Berbanding meminta warga sekolah untuk melaungkan slogan setiap hari, KPM harus melaksanakan kurikulum Pendidikan Sivik yang sistematik.

Kami ulang petikan kenyataan sebelum ini: “Pemuda DAP menekankan bahawa kes ini bukan sekadar isu jenayah, tetapi juga satu loceng amaran – atau wake-up call – kepada sistem pendidikan negara. KPM perlu mengambil iktibar dengan mengatasi kelemahan struktur yang wujud, termasuk menubuhkan saluran aduan yang berkesan supaya setiap pelajar yang menjadi mangsa buli mempunyai mekanisme perlindungan yang kukuh.”

Pada 9 Ogos pula Pemuda DAP turut mendesak agar siasatan menyeluruh dibuat berkaitan kes Zara Qairina. Malahan ahli-ahli parti di Sabah turut menyertai perhimpunan aman menuntut keadilan dan kebenaran buat pelajar terbabit di Sandakan sehari sebelumnya.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang juga Ketua Wanita DAP turut meluahkan kebimbangan terhadap lambakan berita palsu dan maklumat tidak disahkan berkait isu Zara Qairina.

Dia turut menasihatkan berulang kali agar jangan kongsikan maklumat yang tidak tepat kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

Beberapa wakil DAP Sabah turut mengeluarkan kenyataan masing-masing dalam isu berkaitan.

Namun sudah pasti tidak semua kenyataan yang dikeluarkan sampai kepada setiap khalayak juga kerana di ruang media sosial ini kita dipecah-pecahkan dalam gelembung-gelembung algoritma masing-masing.

Adakah sesuai dibandingkan “kekerasan suara DAP” dalam kes Jalur Gemilang yang turut sama hangat diperdebatkan baru-baru ini dengan kes Zara Qairina?

Dalam kes Zara Qairina, ia melibatkan aspek keadilan, nyawa serta perundangan.

Kes kematian Zara Qairina, tuduhan buli serta jenayah yang terkait dengannya memerlukan semua pihak bersuara menuntut keadilan bersama ibu mangsa.

Kes kehilangan nyawa sebegitu tidak sepatutnya dilihat dengan kaca mata politik, apa lagi politik perkauman yang semakin membarah belakangan ini.


SYAHEERA GHAFAR ialah Penolong Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Kebangsaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS