Pada 16 September 2025, negara akan meraikan Hari Malaysia ke-62. Seperti setiap Hari Malaysia, saya ingin menyampaikan sesuatu, jika diizinkan:
Saya anak Malaysia dan saya Melayu. Tetapi saya tidak percaya tanah ini hanya milik saya seorang.
Saya sebahagian dari sebuah negara yang dibina oleh banyak tangan, banyak hati, dan banyak harapan. Kisah kita saling bertaut, masa depan kita dikongsi bersama.
Saya telah melihat bagaimana kaum dan agama digunakan untuk memecah-belahkan kita. Kadang-kadang, bahkan dalam masyarakat saya sendiri, saya mendengar kata-kata yang membuat saya tersentak.

Kata-kata yang menyiratkan orang lain kurang Malaysia, kurang layak, kurang “kekitaan”. Saya berasa gelisah kerana saya tahu itu bukanlah siapa diri kita yang sebenarnya.
Kepada saudara Malaysiaku, orang Cina, India, Orang Asli, Eurasia, Chindian, Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Rungus, Lundayeh, Bisaya, Orang Sungai, Tidong, Suluk, Iranun, Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Kelabit, Lun Bawang, Penan, dan ramai lagi, saya menyaksikan anda.
Saya menghargai sumbangan anda. Saya percaya tanah air ini milik anda, milik kita bersama, seperti ia milik saya juga.
Anda telah membina tanah air ini bersama kami. Anda kasih kepadanya, anda pertahan dan membantu membentuknya.

Walaupun ada ahli politik yang mahu menafikannya, saya mengakui sumbangan anda, dan saya katakan mereka salah.
Anda berhak untuk benar-benar merasakan diri anda di rumah di sini. Kerana Malaysia milik anda sama seperti ia milik saya.
Saya juga ingin berbicara, dengan lembut, tentang sesuatu yang dekat di hati saya. Sebagai seorang Muslim, saya berpegang teguh dengan agama saya.
Tetapi saya perhatikan bagaimana, ada masanya, agama dibawa masuk ke dalam politik dengan cara yang meresahkan saya.

Islam agama penuh kasih sayang, keadilan, kedamaian dan ketulusan hati. Ia tidak sepatutnya digunakan untuk menanam rasa takut, atau untuk menyisihkan.
Saya katakan ini bukan untuk menuduh, tetapi untuk mengingatkan. Bahawa agama kita, seperti negara kita, paling kuat apabila ia mengangkat semua orang.
Saya percaya pada sebuah Malaysia di mana menjadi Melayu bukanlah keistimewaan, tetapi tanggungjawab. Di mana Islam diamalkan dengan keikhlasan, bukan dipolitikkan. Di mana perbezaan kita bukanlah ancaman, tetapi rahmat.
Saya anak Malaysia dan saya mahu anak-anak serta cucu-cucu saya dan cicit pertama saya yang bakal lahir beberapa minggu lagi, menjadi sebahagian dari masa depan di mana kita semua melangkah bersama.
Dengan maruah, dengan hormat dan dengan cinta terhadap semua orang, serta untuk tanah yang kita panggil rumah ini.
YUSUF HASHIM ialah seorang pengembara yang menjelajah ke seluruh pelusuk dunia.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
