SURAT | DAP perlu berhenti campur urusan MIC
SURAT | Sejak kebelakangan ini, terdapat usaha terancang untuk mencipta persepsi kononnya kerjasama MIC dan PAS akan memberi ancaman kepada kaum India dan membawa kepada hilangnya pengundi India buat MIC.
Tuduhan sebegini bukan sahaja tidak berasas, malah mencerminkan sikap hipokrasi politik pihak tertentu.
Anehnya, seolah-olah wujud satu bentuk tabu apabila MIC dikaitkan dengan PAS, sedangkan perkara yang sama dianggap normal dan diterima apabila dilakukan oleh parti lain.
Hakikatnya, sejarah politik Malaysia jelas menunjukkan bahawa DAP pernah bekerjasama rapat dengan PAS. Malah, selepas berpisah mereka tanpa segan silu menerima Amanah iaitu parti pecahan PAS.
'Gelombang Hijau' yang pernah mereka tumpangi dahulu hanya bertukar menjadi 'Gelombang Oren'. Persoalannya, jika benar hubungan dengan PAS dianggap sebagai suatu dosa politik, mengapa DAP dibersihkan daripada stigma tersebut?
Rekod media juga membuktikan DAP pernah berusaha menjalin kerjasama dengan PAS untuk menguasai pentadbiran Selangor. Namun, pada ketika itu PAS sendiri yang membuat keputusan dasar untuk tidak bekerjasama dengan DAP.
Mengapa tindakan tersebut dilihat normal dan boleh diterima namun tetapi apabila MIC didakwa mahu bersama PAS - walaupun sekadar lemparan persepsi - ia terus dianggap salah dan tabu?
Perjumpaan MIC dengan parti politik lain adalah perkara biasa.
Siapa lebih berbahaya
Baru-baru ini Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengakui parti itu pernah mengadakan pertemuan dengan PAS.
Persoalannya, mengapa Umno boleh bertemu dengan PAS tanpa sebarang tuduhan atau persepsi negatif, tetapi MIC terus menjadi sasaran fitnah?
Sebenarnya, naratif yang cuba dimainkan kononnya kerjasama MIC dengan PAS akan mengancam kaum India dan menyebabkan MIC kehilangan pengundi adalah propaganda murahan.
Kerjasama politik bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana hampir setiap parti di Malaysia pernah bergabung atau berunding dengan parti lain demi kepentingan strategik.
Hakikatnya, MIC pernah bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan PN selama kira-kira dua hingga tiga tahun. Sepanjang masa itu tidak pernah wujud sebarang masalah atau ancaman terhadap masyarakat India.

Jadi mengapa isu ini diperbesarkan seolah-olah MIC telah 'menjual' kepentingan kaum India sedangkan realitinya ia hanyalah sebahagian daripada dinamika politik yang turut dilakukan oleh parti-parti lain?
Kenapa MIC selalu menjadi sasaran?
DAP pun pernah tidur sebantal dengan PAS di Perak pada 2008. Ketika itu DAP memenangi 18 kerusi, PKR memenangi tujuh kerusi dan PAS enam kerusi.
DAP menguasai majoriti kerusi di DUN Perak dan kenapa mereka memilih wakil dari parti yang mereka sendiri gelar sebagai ekstremis untuk dijadikan menteri besar di negeri itu, Mohammad Nizar Jamaluddin?
Jika benar PAS ekstrem, mengapa DAP sanggup bersekongkol dan malah menyokong calon parti berkenaan untuk mengetuai sebuah kerajaan negeri? Bukankah itu bukti nyata hipokrasi politik DAP?
Mengapa hanya PAS dilabel sebagai ekstremis? DAP pun tidak kurang ekstremnya, cuma ia dibalut dengan gula-gula “multiracial”.
Tidak ada agenda tersembunyi
Hakikatnya, DAP hanyalah sebuah parti majoriti Cina yang kelihatan seolah-olah berbilang kaum tetapi realitinya tetap berpaksikan satu kelompok dominan. Jadi siapa sebenarnya lebih berbahaya?
Lebih melucukan, DAP selama lebih 50 tahun menuduh Umno sebagai parti perkauman Melayu dan korup. Tetapi hari ini, parti yang sama boleh duduk semeja malah 'bercium' dengan Umno.
Jadi, DAP adalah pihak terakhir yang layak mahu mengajar MIC tentang siapa yang boleh atau tidak boleh dijadikan rakan politik. MIC berhak menentukan haluan sendiri. Apa jua keputusan, kami akan jelaskan kepada akar umbi.
Biar akar umbi memahami apa yang berlaku, apa yang berbeza dan apa yang sama.
DAP hipokrit kuasa dan jawatan. Justeru saya minta supaya DAP berhenti drama yang kononnya memperjuangkan hak rakyat.
Kami di MIC hanya menguruskan hal kami sendiri, maka DAP tolong jaga hal kamu sendiri dan hentikan sikap suka mencampuri urusan kami.
Jangan asyik mahu menunjuk pandai dengan menuding jari kepada MIC sedangkan sejarah kamu sendiri penuh dengan hipokrasi.
Saya ingin menegaskan pendirian kami adalah jelas dan konsisten.
Kami tidak pernah ada agenda tersembunyi untuk bekerjasama dengan PAS. Segala cubaan untuk menggambarkan MIC sebagai parti yang mesra PAS hanyalah usaha murahan untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pihak lain membela masyarakat.
Sudah tiba masanya mereka yang pernah tidur sebantal dengan PAS berhenti berpura-pura suci. Jangan jadikan MIC sebagai kambing hitam demi menutup kegagalan politik dan sejarah silam mereka sendiri.
THINALAN T RAJAGOPALU ialah pegawai strategi MIC Kebangsaan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/a2fe5b24cba2038cc9f0772bad95d700.jpg)
