Pemuda Amanah menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan yang telah dibuat oleh ketua pengarah pendidikan melalui Lembaga Disiplin sekolah untuk membuang sekolah dengan segera keempat-empat pelajar yang disyaki terlibat dalam kes rogol terhadap seorang pelajar Tingkatan 3 di Melaka.
Tindakan ini bukan sahaja wajar tetapi juga perlu menjadi teladan bahawa kesalahan berat seksual di sekolah tidak akan dipandang ringan. Pelajar yang terlibat dalam jenayah rogol telah melanggar maruah mangsa, norma moral masyarakat dan asas maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Saya juga mendesak agar kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Pendidikan dan institusi berkaitan, mengambil langkah tambahan seperti:
1. Penetapan hukuman setimpal, bukan sahaja berasaskan tindakan disiplin sekolah tetapi juga melalui proses undang-undang yang tegas agar menjadi pengajaran kepada semua pelajar di negara ini.
2. Garis panduan dan polisi yang jelas bagi memastikan individu yang dituduh dengan kesalahan seksual serius tidak terus diberi hak seperti duduk peperiksaan atau kembali ke sekolah sehingga kes diselesaikan (misalnya, tempat khas pengawasan).
3. Sokongan pemulihan emosi dan psikologi kepada mangsa dan keluarga agar trauma tidak merosakkan masa depan mereka.
4. Pendidikan mendalam tentang kesedaran seksual, hormat diri dan hubungan sihat sebagai sebahagian kurikulum sekolah, agar generasi muda memahami had mereka dan menghormati maruah orang lain.
Kesalahan merogol bukan perkara biasa atau remeh. Ia melibatkan kerosakan maruah dan kesan mendalam terhadap kehidupan mangsa. Jika kita gagal menangani perkara ini secara tegas, kita mewujudkan pengajaran bahawa jenayah seksual boleh dimaafkan atas nama prosedur atau sistem.
Terdahulu kes buli yang masih belum menemui jalan penyelesaian, saya menuntut agar ia disegerakan bagi memberikan hak kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Pemuda Amanah menyokong penuh tindakan tegas dan akan terus mendesak kerajaan agar segala tindakan dan dasar yang perlu digubal dilaksanakan segera demi keselamatan, maruah dan masa depan generasi muda negara.
DANIAL AL-RASHID HARON adalah timbalan ketua Pemuda Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.nds
