Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT l Jangan terus pinggirkan suara, nasib golongan M40 dan T20

SURAT l Pemuda Amanah Perak menyeru agar Kerajaan Madani tidak terus-menerus meminggirkan suara dan nasib golongan M40 dan T20 dalam penggubalan dasar negara, khususnya melibatkan pelepasan cukai dan insentif yang lebih adil.

Golongan ini adalah tulang belakang pendapatan negara, pembayar cukai setia yang menyumbang besar kepada hasil negara setiap tahun. Namun sayangnya, kelompok inilah juga yang sering terperangkap dalam “zon senyap”, tidak cukup miskin untuk dibantu, tetapi tidak cukup kaya untuk bebas dari tekanan ekonomi.

Dalam keadaan kos sara hidup semakin menekan, Pemuda Amanah Perak mencadangkan agar kerajaan memberi perhatian khusus kepada bentuk pelepasan cukai yang lebih progresif dan relevan kepada cabaran masa kini. Ini termasuk:

  • Peningkatan had pelepasan bagi insurans dan takaful, supaya lebih ramai dapat akses perlindungan kesihatan dan nyawa secara berpatutan.

  • Pelepasan lebih besar bagi pendidikan anak-anak, termasuk yuran taska, sekolah swasta dan pusat tahfiz yang diiktiraf.

  • Pelepasan bagi pembelian peralatan digital dan elektronik, sesuai dengan keperluan dunia kerja moden dan pendidikan anak-anak yang kini banyak bergantung kepada peranti.

  • Pengiktirafan kepada kos penjagaan ibu bapa, penjagaan anak istimewa dan rawatan kesihatan bukan kritikal.

Langkah-langkah ini bukan sekadar bentuk kelegaan fiskal, tetapi isyarat bahawa kerajaan menghargai semua golongan, bukan hanya yang layak menerima bantuan tunai, tetapi juga yang senyap-senyap terus menyumbang kepada kestabilan negara.

Kerajaan Madani mesti memastikan bahawa prinsip keadilan sosial tidak bermaksud hanya membantu yang lemah, tetapi juga berlaku adil kepada yang membantu. Pembayar cukai bukan warganegara kelas kedua, mereka juga rakyat yang perlu dibela, bukan sekadar diperah.

Jangan biar mereka terus memikul beban, tetapi tidak dirai.


KHAIROL NAJIB adalah Ketua Pemuda Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS