SURAT | Selangor merupakan negeri maju, majmuk, dan penuh potensi yang menjadi nadi ekonomi negara.
Namun negeri itu memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja popular di pentas politik, tetapi benar-benar memiliki pengalaman memimpin institusi besar, memahami dasar negara, serta mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum.
Dalam konteks ini, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Adun Paya Jaras Ab Halim Tamuri muncul sebagai sosok pemimpin yang membawa gabungan pengalaman, integriti dan visi masa depan.
Latar belakang pendidikannya mencerminkan kedalaman pemikiran dan wawasan global yang dimiliki.
Dia melanjutkan pengajian sehingga ke salah satu universiti terkemuka dunia, University of Birmingham, United Kingdom, dan memperoleh ijazah sarjana serta doktor falsafah dalam bidang pendidikan.
Pengalaman akademik Ab Halim di peringkat antarabangsa membentuk cara fikirnya yang strategik, terbuka dan berorientasikan masa depan.
Ia juga membolehkan dia memahami bagaimana dasar pendidikan dan pembangunan manusia boleh menjadi asas kepada kemajuan sesebuah negeri.
Sebagai mantan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Ab Halim memimpin sebuah institusi besar yang melibatkan ribuan pelajar, tenaga akademik dan kakitangan.
Mengurus sebuah universiti memerlukan kebolehan membuat keputusan strategik, mengurus sumber manusia yang besar serta memastikan organisasi bergerak dengan visi yang jelas.
Rekod kepimpinannya menunjukkan Ab Halim mampu membina sistem, memperkukuh tadbir urus dan memacu pembangunan institusi secara berkesan.
Pengalaman kepimpinan Adun itu tidak terhad kepada sebuah insitusi peringkat negeri. Di peringkat nasional, Ab Halim turut diberi kepercayaan untuk menjadi anggota Jawatankuasa Menilai Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Ia merupakan satu jawatankuasa penting yang menilai dan memperkukuh dasar pendidikan negara. Kepercayaan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran dan integriti Ab Halim dalam membentuk dasar yang memberi kesan kepada masa depan generasi muda Malaysia.
Selain itu, Ab Halim pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah TV Alhijrah antara 2022 hingga 2023.
Dia memimpin sebuah platform media nasional yang berperanan menyampaikan nilai positif, pendidikan dan pembangunan masyarakat kepada rakyat Malaysia secara lebih luas.
Kekuatan sebenar Ab Halim bukan terhad pada jawatan yang pernah disandang, tetapi pada gaya kepimpinannya. Dia dikenali sebagai pemimpin yang sederhana, mudah didekati dan sentiasa mengutamakan dialog serta kerjasama.
Sepanjang perjalanan kerjayanya, Ab Halim membina hubungan yang baik dengan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang, termasuk komuniti bukan Melayu. Pendekatan inklusif itu amat penting bagi negeri seperti Selangor yang terkenal dengan kepelbagaian masyarakatnya.
PN Selangor memerlukan kepimpinan yang matang, berpengalaman dan mampu membawa politik ke tahap yang lebih berwibawa dan fokus kepada penyelesaian masalah rakyat, pembangunan ekonomi yang adil dan masa depan generasi akan datang.
Dengan gabungan pengalaman kepimpinan institusi, penglibatan dalam dasar nasional serta pendekatan yang inklusif terhadap masyarakat majmuk, Ab Halim menawarkan model kepimpinan baru untuk Selangor.
Sudah tiba masanya Selangor dipimpin oleh seorang tokoh yang berintegriti, berwawasan dan mampu menyatukan semua rakyat negeri ini.
MOHD AZWAN ZAINUDIN merupakan pemegang ijazah sumber manusia dan pascaijazah pentadbiran perniagaan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
