SURAT | Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa menjaga adab, akhlak serta batas dalam membincangkan isu berkaitan raja-raja Melayu.
Malaysia dibina atas asas raja berperlembagaan yang menjadi salah satu tiang kestabilan negara sejak sebelum merdeka lagi. Institusi raja bukan sekadar simbol tradisi, bahkan berperanan sebagai payung penyatuan rakyat, penjaga Islam serta pelindung kepada keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.
Dalam Islam sendiri, adab terhadap pemimpin dan institusi negara merupakan perkara yang sangat dititikberatkan.
Perbezaan pandangan boleh disuarakan melalui saluran yang betul dan penuh hikmah, namun ia tidak seharusnya membawa kepada budaya mempertikai secara emosional, memperlekeh atau mencetuskan polemik yang menghakis rasa hormat rakyat terhadap institusi utama negara.
Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru rakyat memahami dan menghayati Rukun Negara wajar dilihat dalam semangat pendidikan kenegaraan serta pembinaan adab masyarakat.
Rukun Negara bukan sekadar slogan hafalan, tetapi asas pembentukan jiwa rakyat yang menghormati perlembagaan, undang-undang dan institusi raja.
Kami juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa media sosial hari ini terlalu mudah menjadi medan pertikaman lidah, mainan persepsi dan emosi melampau.
Dalam suasana politik yang semakin panas, rakyat janganlah terikut-ikut dengan budaya mencetuskan isu terhadap institusi raja demi keuntungan politik atau perhatian tertentu.
Negara tidak akan menjadi kuat jika rakyat terus diasuh dengan budaya menghina, memperlekeh dan mempertajamkan kebencian terhadap institusi penting negara.
Malaysia memerlukan rakyat yang matang, beradab, cintakan keamanan serta mampu menegur dengan hikmah.
Firman Allah SWT: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan perkataan yang lebih baik...” (Surah al-Isra’: 53)
Ayat ini menjadi panduan bahawa dalam setiap perbahasan dan kritikan, akhlak serta kebijaksanaan wajib diutamakan.
Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah menyeru semua pihak, ahli politik, pemimpin masyarakat, pengguna media sosial dan rakyat keseluruhannya, agar kembali mengangkat budaya ilmu, adab dan hikmah dalam bernegara.
Hormati Perlembagaan, hormati institusi raja dan peliharalah keharmonian negara demi Malaysia yang aman, matang dan sejahtera menuju baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh ATRIZA UMAR sebagai Ketua Penerangan dan Komunikasi Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
