DAP berhentilah berselindung di sebalik slogan “kesamarataan” untuk mempertikaikan dasar yang bertujuan memperkukuhkan pegangan ekonomi Bumiputera dalam aset strategik negara.
Cadangan membatalkan syarat pegangan ekuiti Bumiputera 50 peratus dan mengembalikannya kepada 30 peratus bagi pelupusan hartanah melebihi RM20 juta oleh GLC dan GLIC menunjukkan DAP masih gagal memahami asas pembinaan negara ini.
Ini bukan isu perkauman. Ini isu kestabilan nasional, keseimbangan ekonomi dan tanggungjawab kerajaan memastikan kekayaan strategik negara tidak terus tertumpu kepada kelompok tertentu sahaja.
Yang menghairankan, apabila pemilikan korporat besar terus dikuasai kelompok elit dan kapitalis tertentu, DAP menyebutnya sebagai “market freedom”. Tetapi apabila kerajaan cuba memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam aset strategik milik negara, tiba-tiba ia dianggap ancaman kepada keharmonian.
Mengapa begitu takut dengan angka 50 peratus?

Bukankah selama puluhan tahun Bumiputera masih ketinggalan dalam pemilikan ekuiti sebenar, pegangan korporat bernilai tinggi dan penguasaan sektor strategik? Atau ada pihak hanya selesa apabila Bumiputera kekal menjadi pengguna dan pekerja, tetapi gelisah apabila Bumiputera mula diperkukuhkan sebagai pemilik?
GLC dan GLIC bukan syarikat persendirian biasa. Ia dibina dengan dana rakyat, melibatkan kepentingan awam dan mempunyai tanggungjawab sosial kepada negara. Maka kerajaan berhak menetapkan syarat yang melindungi kepentingan majoriti rakyat serta memperkukuhkan asas ekonomi Bumiputera sebagaimana semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang lebih membimbangkan ialah cubaan menggambarkan dasar pengukuhan Bumiputera sebagai sesuatu yang “ekstrem”, sedangkan realitinya jurang ekonomi dan pemilikan strategik masih belum selesai sejak merdeka.
Lim Guan Eng perlu faham bahawa kestabilan negara tidak dibina atas slogan liberalisme ekonomi semata-mata. Negara ini dibina atas keseimbangan, kontrak sosial dan tanggungjawab menjaga sensitiviti serta hak yang termaktub dalam Perlembagaan.
Ironinya, DAP sering bercakap tentang “inklusif”, tetapi apabila dasar sedikit memihak kepada pengukuhan Bumiputera dalam aset strategik negara, mereka menjadi pihak paling lantang menentang.
Akhirnya rakyat melihat dengan jelas: DAP tidak bermasalah dengan dominasi ekonomi. DAP hanya bermasalah apabila dominasi itu mula dicabar demi memperkukuhkan kedudukan Bumiputera.
MOHAMED SUKRI OMAR ialah Ketua Pemuda PAS Selangor
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
