SURAT | Pemuda Umno Pekan melihat secara positif sebarang bentuk kerjasama antara BN dan PAS jika ia merupakan keputusan yang dibuat oleh parti demi kepentingan perjuangan, kestabilan politik dan masa depan rakyat.
Dalam menghadapi PRU ke-16, kami menyerahkan sepenuhnya soal hala tuju dan bentuk kerjasama kepada kebijaksanaan kepimpinan parti.
Apa sahaja keputusan yang diputuskan secara sah, itulah keputusan yang akan kami junjung dan laksanakan dengan penuh walak.
Prinsip ini bukan sesuatu yang baru bagi Pemuda Umno Pekan. Kami mewarisi budaya politik yang cukup jelas daripada tokoh yang menjadi akar perjuangan kami – Najib Razak.
Sejarah Umno memperlihatkan bahawa kesetiaan itu diuji bukan ketika parti berada dalam keadaan mudah, tetapi ketika berdepan ujian yang paling getir.
Ketika Umno diharamkan pada 1988, lahirnya Umno Baru dan kemunculan Semangat 46, Najib tetap tidak berganjak daripada perjuangan Umno.
Begitu juga dalam pertembungan Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah semasa pemilihan Umno 1987. Najib yang ketika itu memimpin Pemuda Umno Malaysia memilih untuk berdiri bersama presiden parti walaupun dia mempunyai hubungan yang baik dengan Tengku Razaleigh.
Daripada peristiwa itu, kita belajar satu perkara yang besar dalam perjuangan parti: hubungan peribadi tidak boleh mengatasi kepentingan organisasi.
Itulah nilai yang kami warisi.
Kami mungkin mempunyai pandangan, pertimbangan dan pendapat masing-masing. Namun apabila keputusan parti telah dibuat, kepentingan peribadi mesti diletakkan ke belakang demi mendahulukan parti.
Walak bukan bermaksud kita tidak boleh berfikir atau berbeza pandangan. Walak bermaksud apabila keputusan telah diputuskan melalui saluran parti, kita tetap memilih untuk berdiri dalam satu saf dan melaksanakan amanah bersama.
Pemuda Umno Pekan tidak mahu meletakkan diri lebih besar daripada parti.
Kami tidak mengejar kedudukan, tidak menjadikan jawatan sebagai matlamat dan tidak mahu perjuangan ini disempitkan kepada kepentingan individu. Parti lebih besar daripada kita dan perjuangan lebih panjang daripada usia kita.
Maka, jika kepimpinan parti menentukan arah tertentu dalam PRU ke-16, kami akan ikut, kami akan laksana dan kami akan berdiri bersama keputusan tersebut.
Inilah yang kami pelajari daripada Najib.
Bukan kerana setiap keputusan itu semestinya mudah, tetapi kerana kesetiaan diuji ketika keputusan yang dibuat tidak semestinya menguntungkan diri sendiri.
Pemuda Umno Pekan akan terus mempertahankan budaya taat kepada keputusan parti, setia kepada perjuangan dan mendahulukan Umno daripada agenda peribadi.
Kerana pada akhirnya, kita hanya sementara dalam perjuangan ini. Parti dan perjuanganlah yang mesti terus hidup selepas kita tiada.
FAKHRUL AKHMAL MOHAMED ialah Ketua Pemuda Umno Pekan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
