SURAT | Sebarang usaha PKR menghidupkan semula reformasi untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat mungkin terlalu sedikit dan sudah terlambat. Rakyat dilihat semakin mula mencari pilihan politik lain, dan adalah tidak mungkin slogan Memugar Reformasi, Membina Madani mampu memberikan impak yang signifikan atau mengubah keadaan politik semasa.

Perkara ini jelas tercermin dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan lalu apabila PKR hanya berjaya memenangi satu kerusi di Johor dan dua kerusi di Negeri Sembilan. Keputusan ini seharusnya menjadi amaran serius kepada PKR dan PH bahawa rakyat tidak lagi mahu menerima retorik tanpa hasil dan tindakan sebenar.

Antara punca utama perubahan sokongan rakyat ialah kegagalan untuk menunaikan sebahagian daripada janji-janji yang dibuat kepada rakyat dalam PRU lalu. Tidak semua komitmen dan reformasi yang dijanjikan berjaya dilaksanakan.

Rakyat semakin kecewa dengan janji-janji kosong dan pelbagai alasan, sedangkan banyak masalah yang menjejaskan kehidupan seharian mereka masih belum diselesaikan.

Inilah juga yang berlaku kepada BN pada 2018. BN menerima tamparan hebat apabila rakyat menolak mereka dan menuntut perubahan. Namun, BN telah mengambil iktibar daripada kekalahan tersebut, menyedari kelemahan yang ada dan berusaha memperbetulkan kesilapan serta kelemahan mereka.

Keputusan pilihan raya kebelakangan ini menunjukkan bahawa usaha tersebut sedikit demi sedikit telah membantu BN mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Hari ini, rakyat berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kos sara hidup yang semakin meningkat dan tekanan ekonomi menjadikan kehidupan semakin sukar bagi ramai keluarga.

Jika golongan yang berada juga mula merasai tekanan kenaikan kos kehidupan, bayangkan pula kesusahan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah dan pekerja bergaji kecil yang bergelut untuk memenuhi keperluan harian mereka.

Inilah sentimen yang dapat dirasai di peringkat akar umbi. Rakyat mahukan perubahan kerana mereka mahu melihat peningkatan sebenar dalam kehidupan dan masa depan negara. Mereka sudah bosan dengan slogan politik, retorik dan janji yang tidak diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang nyata.

Oleh itu, adalah tidak mungkin sekadar menghidupkan semula naratif Reformasi menerusi tema Memugar Reformasi, Membina Madani akan memberikan sebarang impak yang besar, sekiranya ia tidak disertai dengan reformasi yang tulen, keikhlasan dan hasil yang konkrit.

Rakyat mengharapkan pemimpin yang bersedia bertindak, melaksanakan apa yang dijanjikan dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya sekadar mengulangi retorik lama.

Mesej daripada rakyat semakin jelas. Mereka mahukan keikhlasan, akauntabiliti dan tindakan yang nyata. Mereka mahukan pemimpin yang menunaikan janji serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Rakyat telah membuat keputusan untuk mencari perubahan demi memperbaiki keadaan semasa, dan slogan politik semata-mata tidak akan mampu menghentikan tuntutan yang semakin kuat untuk melihat perubahan tersebut.

Masa depan politik akan menjadi milik mereka yang mampu mendapatkan kembali kepercayaan rakyat melalui komitmen yang ikhlas dan hasil yang benar-benar dapat dirasai.


JEYARATNAM MANIUM ialah Ketua Komunikasi PPP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.