Timbalan perdana menteri mengumumkan bahawa Majlis Mineral Negara telah bersetuju untuk menggunakan simpanan mineral yang bernilai hampir RM235 bilion.

Majlis yang terdiri daripada beberapa menteri dan menteri Besar telah melihat akan keperluan ini.

Bagaimanapun Fomca ingin majlis ini melihat kembali akan langkah tersebut serta kepada corak arena global. Kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat, China dan India mula memperbesar simpanan sumber asli mereka.

Ekonomi global tidak memaksa negara-negara ini menggunakan bahan-bahan ini tetapi menyimpan. Negara-negara ini membeli mineral-mineral dan sumber-sumber asli dari negara lain untuk kegunaan tempatan.

Tindakan ini mesti mempunyai alasan yang munasabah dari segi ekonomi.

Perlombongan mineral tidak pernah diklasifikasikan sebagai mesra alam. Tiada satu istilah seperti perlombongan lestari. Kaedah-kaedah perlombongan senantiasa dikaitkan dengan kemalangan kerja, kemerosotan kualiti alam sekitar dan kesan terus kepada persekitaran.

Kita sebagai negara yang membangun patut melihat sumber asli negara kita yang mengalir ke tapak pelupusan sampah. Akta Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara 2007 menjanjikan bahawa melalui akta ini bahan-bahan sumber ini dapat dimasukkan semula ke dalam aliran bekalan.

Dalam konteks ini Kajian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment) telah membuktikan penggunaan semula bahan-bahan ini adalah mungkin dan banyak dipraktikkan di negara maju.

Fomca meminta Majlis Mineral Negara untuk meneliti cadangan ini dengan lebih mendalam. Kebanyakan negara yang masih ketinggalan dalam pembangunan masih menentang perlombongan dan kita dapat lihat kesan sampingan perlombongan dengan jelas.

Penyakit dan kesan kepada alam sekitar bukan sahaja dapat dilihat dalam bentuk gambar tetapi juga klip video yang terdapat dalam internet untuk rujukan semua.

Negara ini dan sumbernya adalah sesuatu yang kita pinjam daripada anak-anak dan cucu-cucu kita. Ia adalah tanggungjawab penuh kita untuk memeliharanya untuk kegunaan mereka.

Datuk Marimuthu Nadason merupakan presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)