Ketika kos sara hidup meningkat, perubahan tabiat harian seseorang akan dapat membantu mengurangkan beban tersebut.

Kebanyakan kita tidak suka mengubah tabiat. Ia sememangnya susah, akan tetapi, kita juga patut mengambil langkah untuk memperbaiki tabiat kita.

Perubahan ini akan memberikan kesan jangka panjang kepada kos hidup harian.

Membeli produk yang cekap tenaga patut kita teliti. Kecekapan penggunaan tenaga dapat dicapai apabila sesuatu peralatan menggunakan tenaga elektrik secara cekap dan memastikan tenaga yang digunakan kurang untuk operasi produk itu.

Sesetengah daripada kita beranggapan bahawa ia tidak dapat dicapai melalui peralatan elektrik yang kecil. Tanggapan ini salah.

Sesetengah peralatan cekap tenaga mempunyai jangka hayat yang panjang. Kita bukan sahaja mengurangkan penggunaan tenaga, malah dapat menggunakan produk ini untuk masa yang lebih panjang.

Sebagai contoh:

Bandingkan satu penyaman udara dengan 1 kuasa kuda menggunakan 1,200W tenaga elektrik untuk operasi dan satu lagi penyaman udara 20% cekap tenaga menggunakan 960W tenaga elektrik untuk beroperasi.

Bil elektrik setahun seperti berikut:

Penyaman niasa = 1.2 kW x 365 hari x 7 jam x RM 0.25 (kadar per kWj) = RM766.50

Penyaman cekap tenaga = 0.96 kW x 365 hari x 7 jam x RM 0.25 (kadar per kWj) = RM613.20

Pengiraan ringkas ini menunjukkan setiap tahun kita dapat menjimat bil elektrik sebanyak RM153.30. Jika ditambah dengan populasi Malaysia yang mempunyai penyaman udara, penjimatan itu tinggi.

Pada masa yang sama, periksa label dan janji produk yang disebarkan melalui iklan atau ejen kerana ada juga produk yang tidak berfungsi seperti dijanjikan. Kiraan ringkas di rumah juga dapat membantu kita mengetahui anggaran bil elektrik bulanan.

Padamkan peralatan elektrik jika tidak digunakan. Jangan biarkan ia dalam keadaan 'sedia' atau standby kerana ia menggunakan elektrik.

Gunakan cahaya matahari untuk mencerahkan ruang pejabat pada siang hari. Gunakan mentol cekap tenaga atau mesra alam.

Jangan biarkan komputer atau komputer riba dihidupkan apabila anda tiada di pejabat. Terdapat banyak tips menjimatkan tenaga di laman web dan anda boleh mempelajarinya.

Ingat, menjimatkan penggunaan tenaga elektrik juga menjimatkan penggunaan sumber asli kerana input tenaga terbesar bagi Malaysia adalah bahan api fosil.

Terbaru di pasaran, produk-produk yang menggunakan tenaga 'hijau' iaitu tenaga suria. Peralatan ini mempunyai sel suria yang membolehkan penggunaan tenaga bersih serta percuma. Setiap Watts dijimat, menyelamatkan masa depan.

Piarapakaran Subramaniam merupakan pengurus, bahagian alam sekitar di Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)