SURAT | Kami menyelar ucapan Ahli Parlimen Indera Mahkota dari PN, Saifuddin Abdullah, yang melabel Syaikh Ali Jumaah sebagai ulama jahat (ulama su’).

Permusuhan golongan yang mempolitikkan Islam terhadap para ulama yang beraliran sufi serta tradisional sudah sekian lama kita dengar. Namun yang menyedihkan ialah apabila sikap tidak beradab itu kini menyelinap masuk ke dalam PN.

Pada pandangan kami, label sedemikian merupakan penilaian yang berat dan tidak wajar dijadikan senjata politik. Perbezaan pendirian politik seseorang tokoh tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan kepakaran serta sumbangan ulama tersebut dalam bidang ilmu Islam, khususnya pemahaman tradisi Islam.

Penguasaan Ali Jumaah dalam bidang turath mempunyai nilai dan manfaat kepada pembangunan ilmu Islam di Malaysia. Kontroversi politik dia di Mesir boleh dibahaskan kerana ia merupakan ijtihad politik yang terkait dengan konteks ketika itu.

Tetapi penilaian terhadap kepakaran ilmunya perlu dibuat secara adil dan objektif.

Jangan sampai perbezaan politik menyebabkan kita mudah menghukum ulama yang tidak sehaluan dengan kita. Perjuangan Islam bukan hanya melalui politik kepartian, tetapi turut merangkumi pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan khazanah keilmuan Islam.

Kami menyeru agar isu ini dibahaskan secara matang dan beradab.

Nilailah ilmu berdasarkan ilmu, dan kemukakan kritikan dengan hujah, bukan sekadar gelaran yang merendahkan.

Politik boleh berbeza, tetapi jangan sampai sentimen politik mengatasi keadilan dalam menilai ilmu dan ulama.


Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh EDRY FAIZAL EDDY YUSOF (ahli DAP Cawangan Alam Jaya), MUHAMMAD SHAKIR AMEER MOHIDEEN (Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Shah Alam), FARHAN HAZIQ (Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi), ABDUL MAJID ABD AZIZ (Setiausaha DAP Cawangan Pekan Paloh), NOR MISWARY RAMLI (Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam), SHUKRI MOKHTAR (ahli DAP Cawangan Kampung Baru Bt 9 Cheras), MUHAMMAD NAJIB ANUAR (ahli DAP Taman Kemuncak), MOHD ASLAM AHMAD RAMLI (Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1), MUHAMMAD MUZAMIR ABDUL RAHMAN (Ahli DAP Taman Kemuncak), MUHAMMAD NURHADI (ahli DAP Bandar Baru Bangi), IZZUL AFIQ (Setiausaha DAP Cawangan Taman Kemuncak) NUR RAHIM NASIR (Naib Ketua Pemuda DAP Selangor) dan AZFAR FARUQI MOHAMAD IDRIS (ahli DAP Cawangan Taman Seroja).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.