Syarikat kroni berjaya bantu orang Melayu
Saya merujuk kepada artikel 'Bersih, Cekap, Amanah - mengabui mata rakyat' (19 Julai) tulisan saudara Abu Mujahed Abdullah Azzam khasnya kepada perenggan yang berbunyi:
"Komen saya ialah siapakah yang mendapat keuntungan daripada projek-projek mega ini: rakyat ataupun kroni-kroni yang terhasilkan daripada dasar politik di bawah naungan kerajaan seperti Renong dan Binariang."
Penulis nampaknya kurang faham dengan dasar kerajaan yang ingin membantu kaum bumiputra khasnya orang Melayu. Tanpa projek projek penswastaan seperti lebuhraya Plus oleh Renong/UEM kepada syarikat milik bumiputra, hasrat kerajaan untuk membantu kaum Melayu untuk mencapai 30 peratus bahagian ekonomi tidak akan tercapai sampai bila-bila pun.
Mungkin projek-projek ini bersaiz mega dari segi pandangan mata kasar. Tetapi kalau dikaji lebih mendalam, syarikat-syarikat seperti Renong/UEM adalah syarikat yang paling ramai kakitangan biasa dan profesional seperti jurutera daripada orang Melayu.
Tanpa syarikat 'Melayu' seperti ini, jurutera-jurutera Melayu tidak akan dapat menjadi jurutera yang berwibawa ataupun mendapat kedudukan yang baik di dalam syarikat.
Penulis sendiri boleh membuat kajian, mana satukah syarikat gergasi atau syarikat awam bukan milik bumiputra yang banyak mengambil pekerja dan para professional Melayu?
Jika sekiranya kerajaan tidak membantu syarikat-syarikat seperti ini, di manakah lagi tempat professional Melayu bekerja dan mendapat kedudukan yang baik? Jika sekiranya syarikat-syarikat seperti ini dibiarkan muflis, siapakah yang akan mengambilalih syarikat-syarikat ini?
Adakah syarikat Melayu yang lain mampu untuk mengambilalih atau menyelamatkan syarikat ini? Kalau jawapannya tiada, persoalan selanjutnya ialah apakah nasib para professional Melayu dan kakitangan orang Melayu di dalam syarikat ini apabila ia diambil oleh syarikat asing atau syarikat bukan milik bumiputra?
Pemilik asing pula tidak akan segan silu mengambil dan membuang kakitangan berdasarkan kayu pengukur meritokrasi. Dengan kayu pengukur ini, ramai orang Melayu yang tidak dapat bersaing dengan kaum lain.
Dengan penjelasan di atas, penulis boleh membuat kesimpulan sendiri, siapakah pihak-pihak yang sebenarnya mendapat faedah daripada sistem kroni yang dimaksudkan oleh beliau.
Memang tidak dapat dinafikan, ramai orang Melayu yang menjadi jutawan hasil daripada sistem ini. Namun demikian, harus diingatkan, tanpa sistem seperti ini, sampai bila pun tiada orang Melayu akan menjadi jutawan yang boleh bersaing dengan kaum-kaum yang lain.
Mungkin tidak salah jika saya mengatakan, sistem kroni dan pemberian keistimewaan kepada orang Melayu terutamanya dalam bidang perniagaan adalah bertujuan untuk memastikan agar orang Melayu tidak akan selama-lamanya hidup sebagai 'pekerja' yang merempat di negara sendiri.
Dalam hal ekonomi Bumiputera, pandangan saudara Basriakil bahawa Dr Mahathir adalah perdana menteri yang paling berjaya amatlah tepat ('Mahathir - Perdana Menteri paling berjaya di dunia').

