Umno sewa pengimbas dari Angkasa
Umno akan menyewa 40 pengimbas dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk digunakan dalam sistem pengundian berkomputer dalam pemilihan Umno yang dijadualkan akhir bulan ini.
Setiausaha Kerja Umno, Brig Jen (B), Datuk Husainay Hashim berkata 30 hingga 40 pengimbas itu akan disewa bagi menjalankan sistem pengundian berkomputer yang diluluskan Jawatankuasa Pengurusan Umno sebelum ini.
"Sistem pengundian berkomputer yang diluluskan ini akan menjimatkan masa pengiraan undi selain lebih telus," katanya kepada Bernama.
Perhimpunan agung Umno yang akan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung pada 24 hingga 28 Mac ini.
Beliau berkata sistem pengundian berkomputer yang kali pertama digunapakai dalam pemilihan Umno itu akan dikelolakan jawatankuasa pemilihan diketuai Tan Sri Samsuddin Osman dengan kerjasama ibu pejabat Umno.
Husainay berkata sistem pengundian itu akan dipantau dua pasukan audit iaitu pasukan audit teknikal dan audit statistik.
"Pasukan audit teknikal akan memastikan sistem itu mengandungi format yang betul tanpa sebarang data sebelum pengundian dilakukan. Ini bermakna bila ada undian, baru data dimasukkan. Tujuannya adalah untuk menjamin ketelusan.
"Manakala pasukan audit statistik akan memastikan angka undian yang masuk itu betul dan sekiranya ada kertas undian yang diimbas tetapi meragukan, kertas itu akan terus dirujuk kepada jawatankuasa pemilihan untuk dibuat keputusan lanjut," katanya.
Husainay berkata jumlah undi akan disahkan oleh pasukan audit terbabit sebelum sebarang keputusan diumumkan kepada perwakilan.
Beliau turut memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak turut meluluskan penggunaan gambar pada kertas undi bagi memudahkan perwakilan mengecam calon bertanding.
Lebih 2,500 perwakilan parti akan memilih 269 calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno dan ketiga-tiga sayap parti; Wanita, Pemuda dan Puteri dalam pemilihan kali ini.

