Ahli jawatankuasa PKR Kedah, S Sritharan disebut-sebut sebagai calon paling popular untuk mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Beliau antara empat calon yang telah disenarai pendek untuk ditimbang oleh pucuk pimpinan PKR pusat bagi berdepan pilihanraya itu, antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Pemilihan Sritharan dijangka diumumkan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Manakala akhbar China Press pula melaporkan bahawa Sritharan telah dihubungi ibu pejabat PKR memintanya untuk membuat persiapan.

Akhbar itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Sritharan dilihat sebagai calon yang paling layak berdepan cabaran BN.

Beliau dianggap seorang yang peramah, mesra rakyat serta berkhidmat dengan cemerlang sebagai ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Sumber-sumber itu berkata, setiap kali menerima aduan, Sritharan segera turun memberikan khidmat kepada orang ramai.

Beliau yang berusia 45 tahun menyertai PKR pada November 2007, sudah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak perempuan.

Sudah diramalkan

Malah, banyak pihak sebelum ini telah meramalkan beliau akan dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding di Bukit Selambau.

Selain Sritharan, beberapa nama lain yang turut menawar diri termasuklah Dr Krishnamurthy (ketua penerangan PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli parlimen Padang Serai).

Tiga lagi yang turut menawar diri termasuklah seorang pemimpin Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Dua lagi, R Muniandi dan Manogaran - kedua-duanya ahli jawatankuasa bahagian Merbok.

DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan exco Kedah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.

Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon BN dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.

Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.