BERITA

MP pembangkang pulau JK siasat kes serang Karpal

Rahmah Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Mac 2009, 12:54 tengahari

Tiga ahli Parlimen pembangkang menarik diri daripada menganggotai jawatankuasa khas menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang mendakwa diserang sekumpulan anggota Pemuda Umno di Parlimen pada 26 Februari lalu.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Barat), Sivarasa Rasiah (PKR-Subang) dan Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) bertindak demikian sebagai membantah penggantungan anak Karpal, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) selama setahun semalam.

Karpal juga memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan siasatan tersebut, yang bermula pada jam 1 tengahari tadi.

Ahli-ahli pembangkang yang turut terbabit dalam insiden tersebut seperti N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Lim Lip Eng (DAP-Segambut) Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) dan Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) juga tidak akan menghadiri siasatan tersebut.

Bagaimanapun, seorang pembantu Karpal, Michael Cornalius akan hadir bersama dengan anak ahli parlimen Bukit Gelugor itu, Ram Karpal.

Mereka yang dijadualkan menghadiri siasatan hari ini antaranya para pegawai dan pengawal keselamatan Parlimen.

Jawatankuasa khas itu ditubuhkan mengikut Seksyen 80(A) Perintah Tetap.

Anggota lain jawatankuasa tersebut ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, timbalannya Datuk Ronald Kiandeee serta Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu), Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.