Malaysiakini BERITA

Kongres Melayu mahu PPSMI dibatalkan

Fathi Aris Omar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pertemuan bersejarah cendekiawan Melayu dalam kongres kebudayaan kedua hari ini meluluskan 10 resolusi penting, termasuk membawa akibat pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Deraf resolusi-resolusi yang menyentuh pelbagai bidang termasuk pendidikan, politik, keperlembagaan, ekonomi dan agama diedarkan di hujung pertemuan dua hari di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

"Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh kapisan masyarakat; pelaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan martabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara," resolusi kelima dipetik.

Sementara resolusi keenam mengenai 'bahasa, kesusasteraan dan kesenian' berbunyi:

"Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuatkuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan daripada tahap rendah kepada tahap universiti."

Kongres kedua itu yang diadakan selepas pertemuan pertama pada Disember 1957 juga menegaskan kembali peri pentingnya sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi didaulatkan kerana kedua-dua unsur itu "bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia."

"Institusi raja dan Majlis Raja-raja adalah menjadi bahagian utuh daripada sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai 'pemerintah tertinggi' mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak," kata profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Datuk Dr Zainal Kling sewaktu membacakan resolusi mengenai politik.

Kongres itu, yang turut mendapat inspirasi resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1970 - yang menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - turut menentang gagasan multikulturalisme yang dianggap "mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa."

Sewaktu membentangkan hujahnya di kongres tersebut semalam, Dr Zainal berkata gagasan itu yang disebarkan oleh golongan sosialis dan Marxis menggalakkan kebangkitan penentangan kumpulan-kumpulan budaya kecil terhadap dasar-dasar kerajaan.

Tindakan seumpama ini, tambahnya, seperti gagasan Ketuanan Rakyat yang diseru oleh pakatan pembangkang dan idea-idea perjuangan hak asasi manusia yang dibawa NGO boleh menghancurkan negara.

"Kebudayaan Melayu-Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafisran yang berkait dengan multikulturalisme sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa," resolusi pertama dipetik.

Kongres menyokong kembali tiga prinsip asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan utama kemajuan kebudayaan nasional:

bullet button kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan pribumi di rantau Alam Melayu,

bullet button unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan, dan

bullet button Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan.

Kumpulan cendekiawan Melayu ini juga melahirkan kebimbangan berhubung pindaan perlembagaan negara secara sewenang- wenangnya yang boleh mendorong kemuliaan raja, kepentingan rakyat, hak istimewa Melayu dan hak asasi semua rakyat dilemahkan dan diremehkan.

"Keluhuran perlembagaan dan dasar-dasar utama negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukun Negara dan dasar bahasa kebangsaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum," dokumen setebal lapan halaman itu dipetik.

Mereka juga mendesak agar semua kakitangan pentadbiran awam dan penggubal undang-undang "mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan (Melayu) yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat."

Kongres mencadangkan media filem dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan negara, selain mendesak kerajaan mengawal kerencaman pemikiran Islam yang boleh menggugat kedudukan agama dan Melayu sebagai "bangsa penakrif" Malaysia.

Kongres ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ia ditutup dengan rasmi oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Annuar Zaini.