Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) kini bebas daripada tuduhan menyeleweng wang berjumlah RM200,000 dalam persatuan itu, kata presidennya Freddie Fernandez.

Susulan beberapa laporan dan dakwaan empat bekas ahli badan penggiat seni, tambahnya, Suruhanjaya Pencegaran Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menjalankan siasatan terperinci.

freddie fernandez "Dan akhirnya mendapati, bahawa segala dakwaaan yang dibuat oleh bekas ahli itu tidak benar sama sekali dan tidak berlaku apa-apa penyelewengan dalam Karyawan," katanya.

"Segala dokumen dan fail yang telah dirampas oleh agensi tersebut untuk menjalankan siasatan telah dikembalikan ke pejabat persatuan di Petaling Jaya baru-baru ini tanpa sebarang tindakan diambil."

Dalam satu kenyataan hari ini, Freddie berkata, setelah pihak berwajiba termasuk Pentaftar Pertubuhan memeriksa semua dokumen dan rekod Karyawan, serta menyoal siasat hampir kesemua ahli jawatankuasa persatuan itu, ia didapati "telus, profesional dan tidak melanggar sebarang undang-undang."

Awal tahun lalu, empat ahli Karyawan yang diketuai pelakon veteran terkenal Datuk Aziz Satar tampil membuat laporan kepada ketiga-tiga agensi tersebut.

Selain Aziz, pelakon Betty Benaffe, penulis skrip Wahid Nassir dan ketua bironya Yang Jamil kemudiannya dilaporkan dipecat daripada persatuan kebajikan tersebut.

Mengulas perkara tersebut dalam kenyataan yang sama, Freddie berkata keputusan pihak berwajib itu dapat dijadikan pengajaran kepada ahli Karyawan supaya mendapatkan penjelasan rasmi sebelum mengutarakan sesuatu dakwaan mereka terhadap pihak lain.

"Sekiranya laporan itu didapati tidak benar seperti yang berlaku sekarang, ia bukan sahaja memalukan ahli tersebut tetapi juga menjejaskan nama baik persatuan," katanya lagi.