Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya nakhoda PAS, Hadi mari jumpa saya'
Diterbitkan:  Mar 20, 2009 8:44 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Mursyidul am PAS menyifatkan dirinya sebagai nakhoda kapal parti itu dan mengingatkan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar berbincang dengannya sebelum membuat keputusan isu penubuhan kerajaan campuran.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu terdapat ramai nakhoda dalam satu kapal yang mengeluarkan arahan berbeza sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti dan menjejaskan kredibiliti PAS, lapor Bernama .

nik aziz hugging hadi awang b 230708 Bercakap selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEK) di Kota Bharu hari ini, Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan mengulangi pendiriannya sebagai ketua tertinggi PAS bahawa beliau menolak cadangan Abdul Hadi itu atas alasan ia sudah diputuskan pada muktamar di Ipoh tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedia berbincang dengan Abdul Hadi mengenai isu menubuhkan kerajaan campuran antara pakatan pembangkang dan BN.

"Saya mursyidul am umpama nakhoda, kalau tukang sauh nak jumpa, saya tak boleh tolak, kena jumpa. Kalau tukang layar nak jumpa tak boleh tolak, kalau Haji Hadi nak jumpa pun saya tak boleh tolak," Nik Abdul Aziz dipetik berkata.

Beliau ditanya sama ada beliau sedia berjumpa dengan presiden PAS atau pemimpin tertinggi lain parti dalam menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai cadangan Hadi bagi membentuk kerajaan campuran pembangkang dan BN.

Nik Abdul Aziz berkata jika ramai pemimpin PAS yang menggesa untuk penubuhan kerajaan campuran dengan BN, maka perlu ada satu platform yang khusus untuk membincangkan perkara itu dengan teliti.

"Saya tetap dengan pendirian asal saya, tidak bersetuju dengan cadangan itu. Kalau hendak juga hubungan kerjasama itu, (PAS) kena adakan mesyuarat khas lain membincangkan khusus tentang perkara itu," katanya lagi.

ADS