Hamidah tarik diri, Salmah hilang kelayakan
Calon exco Wanita Umno Hamidah Osman dari Gopeng menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan kali ini bagi menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai ADUN Sungai Rapat dan exco kerajaan negeri Perak, kata Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.
"Ada dua calon Wanita Umno yang tidak lagi termasuk dalam senarai pencalonan iaitu Hamidah yang baru saja mengumumkan menarik diri, cuma gambarnya masih ada dalam borang pencalonan tetapi diingatkan mereka ini tidak boleh dipilih lagi.
"Seorang lagi ialah Salmah (Pin) kerana tindakan disiplin dan hilang kelayakan bertanding," katanya selepas mesyuarat pra-majlis Pergerakan Wanita Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara hari ini, lapor Bernama.
Katanya Hamidah merupakan Exco Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Telekomunikasi, Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak manakala Salmah ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Bandar Tun Razak yang digantung keahlian selama tiga tahun, tidak akan bertanding kerana didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin berhubung kes politik wang.
Rafidah berkata kebanyakan perwakilan belum mengetahui tentang ini kerana gambar mereka berdua masih ada di borang pencalonan sebelum ini dan berharap supaya undi tidak akan rosak.
Mengenai persiapan pergerakan itu sempena Perhimpunan Agung kali ini, beliau berkata hanya satu usul akan dibahaskan kali ini iaitu usul ucapan dasar presiden.
"Berikutan kesuntukan masa, semua perwakilan negeri akan diberikan masa untuk membahas ucapan dasar merangkumi semua isu termasuk ekonomi, pendidikan, agama dan politik," katanya.
Beliau turut mengingatkan semua perwakilan Wanita untuk segera turun membantu jentera pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sejurus tamatnya Perhimpunan Agung Umno bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) di sana.
"Kita tidak banyak masa lagi, hari pencalonan pada 29 Mac ini dan kita kenalah turun padang dan membuat tugas yang telah diagihkan sebelum ini," katanya.

